Saturday, June 13, 2009

UMAR BIN Al-KHATTAB





BAB II
IJTIHAD KHALIFAH UMAR(R.A)

Hukum-hukum dan perbuatan khalifah Umar yang bertentangan dengan nas tetapi dianggap sebagai ijtihad melebihi 107
perkara sebagaimana dicatat oleh para ulama Ahl al- Sunnah di dalam buku-buku mereka. Di antaranya:
1. Khalifah Umar melarang mengerjakan sembahyang sunat selepas fardhu 'Asar, sedangkan Nabi SAWA tidak pernah meninggalkan sembahyang dua rakaat sunat selepas sembahyang 'Asar.'Urwah bin al-Zubair daripada bapanya, daripada 'Aisyah dia berkata:"Rasulullah SAWA tidak pernah meninggalkan dua rakaat sembahyang sunat selepas fardhu 'Asar.[Muslim, Sahih,I, hlm.50]
2. Khalifah Umar juga melarang dan mengharamkan seorang itu "menangis" ke atas mayat, sedangkan ia adalah harus dan dilakukan oleh Rasulullah SAWA ke atas Hamzah RA. Oleh itu hadith Umar yang menyatakan "mayat diazab dengan tangisan orang yang hidup" adalah bertentangan dengan hadith Rasulullah SAWA yang melarang Umar dari menegah wanita-wanita menangis ke atas mayat. Rasulullah SAWA bersabda:"Wahai Umar biarkan mereka menangis, kerana jiwa berdukacita, mata mengalirkan air mata..."[Ibn Majah, al-Sunan,I,hlm. 481; al-Hakim, al-Mustadrak, I,hlm. 381; Ibn Hanbal,
al-Musnad, II, hlm. 408] Dan ianya juga bertentangan dengan firman-Nya di dalam Surah an-An'am (6): 164:"Dan seseorang yang membuat dosa tidak akan memikul dosa orang lain." Lantaran itu kenapa simati disiksa kerana tangisan orang yang hidup?
3. Khalifah Umar mengatakan tidak wajib sembahyang(solat) bagi orang yang berjunub ketika tidak ada air.[Ibn Majah, al-Sunan,I,hlm. 200; al-Nasai, al-Sunan,I,hlm. 59] Oleh itu ijtihadnya itu adalah bertentangan dengan Surah al-Maidah (5):6"…maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah...."
4. Khalifah Umar memberi hukuman bahawa talak tiga jatuh sekaligus. Sedangkan talak pada masa Rasulullah SAWA dan khalifah Abu Bakar ialah tiga kali sebagaimana terdapat di dalam al-Qur'an.[Ahmad bin Hanbal, al-Musnad,I,hlm. 314; Muslim, Sahih,I,hlm. 574] Ijtihadnya itu adalah bertentangan dengan Sunnah Nabi SAWA dan firman Tuhan di dalam Surah al-Baqarah (2): 229:"Talak (yang dapat dirujuk) dua kali. Setelah itu boleh dirujuk lagi dengan cara yang baik atau menceraikan dengan cara yang baik."
5. Khalifah Umar adalah orang yang pertama mengenakan 'Aul di dalam ilmu Faraidh.[al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa', hlm. 137] Ijtihadnya adalah bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAWA yang tidak mengenakan 'Aul.
6. Khalifah Umar adalah orang yang pertama memindahkan maqam Ibrahim dari tempat yang diletakkan oleh Nabi SAWA iaitu dekat dengan Ka'bah, ke tempat yang ada sekarang iaitu tempat di masa jahiliyyah.[al-Suyuti, Tarikh- al-Khulafa, hlm. 137]
7. Khalifah Umar adalah orang yang pertama mengurangkan takbir solat jenazah kepada empat takbir.[al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa, hlm. 137] Memang tidak dinafikan bahawa terdapat riwayat yang lemah yang menyatakan Nabi SAWA melakukan empat takbir bagi sembahyang jenazah, tetapi apa yang anehnya khalifah Umar telah memerintahkan supaya melakukan empat takbir sahaja. [AbuYusuf, Kitab al-Athar, hlm. 39] Ini bererti dia memansuhkan riwayat yang mencatatkan bahwa Nabi SAWA melakukan sembahyang jenazah dengan lima takbir. Apa yang menghairankan ialah mengapa para sahabat berselisih pendapat tentang bilangan takbir ini.
Mengikut Imam Ja'far al-Sadiq AS daripada bapa dan datuknya bahawa Nabi SAWA melakukan sembahyang jenazah dengan lima takbir.[al-Tusi, Tahdhib al-Ahkam, III, hlm. 3-5] Daripada Abu al-A'la, ia berkata:"Aku telah sembahyang di belakang Zaid bin al-Arqam (sembahyang jenazah) maka ia melakukan lima takbir, maka Abu Isa Abdul Rahman bin Abi Laila berkata kepadanya sambil memegang tangannya: Adakah anda lupa? Dia menjawab: Tidak, tetapi aku sembahyang di belakang Nabi SAWA dan beliau mentakbirkan lima takbir dan aku tidak meninggalkannya selama-lamanya."[Ibn Hanbal, al-Musnad,I, hlm. 370]
Al-Tahawi meriwayatkan daripada Yahya bin Abdullah al-Taimi, ia berkata:"Aku sembahyang bersama Isa, hamba Huzaifah bin al-Yaman, maka ia melakukan takbir lima kali, kemudian dia berpaling kepada kami dan berkata: Aku tidak keliru dan tidak lupa tetapi aku telah mentakbirkan mengikut cara tuan aku Huzaifah al-Yaman, dia sembahyang jenazah dengan lima takbir: Kemudian dia berpaling kepada kami dan berkata: Aku tidak keliru dan tidak lupa tetapi aku telah takbir lima takbir sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAWA."[Umadah al-Qari,IV,hlm. 129]
Berdasarkan hadith-hadith tersebut dan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh para Imam Ahlul Bayt, maka tetaplah bahawa Nabi SAWA melakukan lima takbir bagi sembahyang jenazah. Oleh itu perintah Umar mengurangkan kepada empat takbir adalah bertentangan dengan kebiasaan perbuatan Rasulullah SAWA.
8. Khalifah Umar adalah perencana utama dalam cubaan membakar rumah Fatimah AS kerana memaksa Ali AS supaya memberi membai'ah kepada Abu Bakar. Tindakannya itu adalah membelakangi firman Tuhan (Surah al-Ahzab (33):33:"Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai Ahlul Bayt dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya." Fatimah adalah di kalangan Ashab al-Kisa' yang disucikan oleh Allah SWT. Umar berkata:"Aku akan membakar kalian sehingga kalian keluar untuk memberi bai'ah kepada Abu Bakar."[Al-Tabari, Tarikh, III, hlm. 198; Abu-l-Fida, Tarikh, I, hlm. 156]
9. Khalifah Umar mengatakan Rasulullah SAWA "sedang meracau." Oleh itu permintaan beliau supaya dibawa pensil dan kertas supaya beliau menulis perkara-perkara yang tidak akan menyesatkan ummatnya selama-lamanya tidak perlu dilayani lagi.[Muslim, Sahih, III, hlm. 69; al-Bukhari, Sahih, I, hlm. 36]
Ijtihadnya adalah bertentangan dengan firmanNya di dalam Surah al-Najm (53):3-4:"Dan tiadalah yang diucapkannya itu
menurut kemahuan hawa nafsunya."
10. Khalifah Umar adalah orang yang pertama menambahkan hukum sebat bagi peminum arak dari 40 sebatan kepada 80 kali sebatan.[al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa', hlm. 137]
11. Khalifah Umar adalah orang yang pertama menciptakan solat Tarawih pada bulan Ramadhan. Ianya tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAWA.[al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa', hlm. 136]
12. Khalifah Umar adalah orang yang pertama membuangkan perkataan "Hayya 'ala Khairul 'Amal" di dalam azan dan iqamah.Sedangkan ianya adalah sebahagian daripada azan Rasulullah SAWA.[al-Halabi, al-Sirah, II, hlm. 110]
13. Khalifah Umar adalah orang yang pertama yang menambahkan perkataan "al-Solah Khairun mina n-Naum." Ianya tidak dilakukan oleh Rasulullah SAWA.[al-Halabi, al-Sirah, hlm.110]
14. Khalifah Umar telah melakukan kesalahan dalam masalah pusaka "datuk" dengan "saudara lelaki." Umar telah bertanya Rasulullah SAWA mengenainya, maka Rasulullah SAWA menjawab:"Aku fikir sampai matipun kamu tidak akan memahaminya." Ubaidah al-Salmani berkata:"Aku telah menghafaz untuk Umar mengenai "datuk" lebih dari 100 masalah."[al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal,VI, hlm. 15]
15. Khalifah Umar juga tidak dapat menyelesaikan masalah al-Kalalah yang diakuinya sendiri, dia berkata:"Jika aku mengetahui al-Kalalah, adalah lebih baik bagiku dari istana-istana di Syam."[al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, VI, hlm. 20]
16. Khalifah Umar melarang orang ramai dari meriwayatkan dan menulis Sunnah Rasulullah SAWA, dia berkata:"Hasbuna Kitabullah (Kitab Allah adalah cukup bagi kita)."[Al-Bukhari, Sahih, I, hlm. 36] Ijtihadnya adalah bertentangan dengan hadith yang dipopularkan oleh Ahlul Sunnah:"Aku tinggalkan pada kalian dua perkara selama kalian berpegang kepada kedua-duanyaKitab Allah dan Sunnahku."
Ibn Sa'd dalam Tabaqatnya, V hlm. 140 meriwayatkan bahawa apabila hadith atau Sunnah Rasulullah SAWA banyak diriwayatkan dan dituliskan pada masa Umar bin al-Khattab, maka dia menyeru orang ramai supaya membawa kepadanya semua hadith-hadith yang ditulis, kemudian dia memerintahkan supaya ianya dibakar.
Oleh itu tidaklah hairan jika khalifah Umar menahan tiga orang sahabat di Madinah sehingga mati, kerana meriwayatkan banyak hadith Rasulullah SAWA. Mereka ialah Ibn Mas'ud, Abu Darda' dan Abu Mas'ud al-Ansari.[al-Dhahabi, Tadhkirah al-Huffaz, I,hlm. 8; al-Haithami, Majma al-Zawaid,I,hlm. 149; al-Hakim, al-Mustadrak,I,hlm. 110] Khalifah Umar berkata kepada Abu Darda:"Apa hadith daripada Rasulullah?"Abu Salmah bertanya kepada Abu Hurairah:"Adakah anda meriwayatkan hadith semacam ini pada masa Umar?"Abu Hurairah menjawab:"Sekiranya aku meriwayatkan hadith (semacam ini) pada masa Umar nescaya dia memukulku dengan cemetinya"[al-Dhahabi, Tadhkirah al-Huffaz,I,hlm. 7]
17. Khalifah Umar mengesyaki Nabi SAWA dan kaum Muslimin sama ada berada di dalam kebenaran ataupun kebatilan. Ia bertanya Rasulullah SAWA:"Adakah kita berada di dalam kebenaran dan mereka (kafir) berada dai dalam kebatilan? Adakah orang yang terbunuh di pihak kita akan memasuki syurga? Dan orang yang terbunuh di pihak mereka ke neraka? Rasulullah menjawab:"Ya dan akhirnya Rasulullah SAWA menegaskan kepadanya:"Wahai Ibn al-Khattab, sesungguhnya aku ini adalah Rasulullah dan Allah tidak akan mengabaikan aku."Umar beredar dari Rasulullah SAWA dengan marah (muthaghayyizan), kemudian dia berjumpa Abu Bakar lalu ia mengemukakan persoalan yang sama, lantas Abu Bakar menyakinkan dia bahawa Muhammad itu adalah Rasulullah dan Allah tidak akan mengabaikannya.[Muslim, Sahih,IV, hlm.12,14; al-Bukhari, Sahih, II,hlm. 111]
18. Khalifah Umar telah menyamakan bayaran jizyah. Ianya bertentangan dengan Sunnah Nabi SAWA bahawa satu dinar adalah jizyah bagi setiap (zimmi) yang akil baligh sahaja.[Ibn Abd al-Birr, al-Isti'ab, II,hlm. 460;Ibn Abil Hadid, Syarh, Nahj al-Balaghah,III,hlm. 178]
19. Khalifah Umar telah memberikan harta dari Baitul Mal melebihi apa yang sepatutnya. Dia telah memberikan 'Aisyah dan Hafsah sepuluh ribu dirham setiap tahun.[Ibn al-Athir, al-Kamil, II, hlm. 35] Sedang dia menahan khums Ahlul Bayt AS [al-Jassas, Ahkam al-Qur'an,III, hlm. 61] Dia juga telah menarik balik Fadak dari Fatimah AS yang telah diberikan kepadanya oleh ayahandanya Rasulullah SAWA.
20. Khalifah Umar telah mengingkari kematian Nabi SAWA. Dia tidak mengetahui bahawa kematian adalah harus bagi Nabi SAWA. Dia berkata:"Siapa yang mengatakan bahawa Nabi telah mati, aku akan membunuhnya dengan pedangku." Abu Bakar datang dan berkata kepadanya:"Tidakkah anda mendengar firman Allah SWT (di dalam Surah al-Zumar (39):30,"Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati (pula)" dan firman-Nya (di dalam Surah Ali Imran (3):144),"Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sesungguhnya telah berlaku sebelumnya beberapa orang Rasul.Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)?" Maka Umar pun berkata:"Aku yakin dengan kematiannya seolah-olah aku tidak mendengar ayat-ayat tersebut."[al-Syarastani, al-Milal,I,hlm. 23; al-Bukhari, Sahih,VII, hlm.17]
Bagaimana khalifah Umar berkata:"Kitab Allah adalah cukup bagi kita" ketika dia menegah Nabi SAWA dari menulis wasiatnya di mana ummat tidak akan sesat selama-lamanya, sedangkan dia tidak mengetahui ayat-ayat tersebut sehingga Abu Bakar datang dan membacakan kepadanya? Dan tindakan Umar yang tidak mempercayai kewafatan Nabi SAWA tidak boleh difahami sebagai kasihnya yang teramat sangat kepada Nabi SAWA. Kerana dia telah berkata bahawa Nabi SAWA sedang meracau dan Kitab Allah adalah cukup bagi kita. Lalu dia menegah Nabi SAWA dari melaksanakan apa yang dikehendakinya.[al-Bukhari, Sahih, I, hlm. 36; Muslim, Sahih, II, hlm. 69]
Dan kata-kata Abu Bakar pula menyokong pendapat Umar. Dia berkata:"Siapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad telah mati." Ini bererti wahai orang yang bermegah ke atas kami dengan Muhammad, habislah mereka kerana peranannya sudah selesai. Kitab Allah adalah cukup bagi kita kerana ianya hidup. Persoalan yang timbul "Adakah kaum Muslimin pada masa itu menyembah Muhammad?" Tidak. Mungkin ini adalah satu sindiran kepada Bani Hashim secara umum dan Ali bin Abi Talib secara khusus. Kerana mereka bermegah dengan Muhammad. Rasulullah SAWA, dari kalangan mereka. Dan merekalah keluarganya, dan orang yang paling berhak daripada orang lain, kerana mereka lebih mengetahuikedudukan Nabi SAWA. Atau adakah tindakan Umar yang ingin membunuh siapa sahaja yang berkata Muhammad telah mati itu merupakan tindakan politik sehingga dia dapat melambat-lambatkan kepercayaan kaum Muslimin bahawa Nabi SAWA telah mati. Dan dengan ini perancanaannya dapat dilaksanakan sehingga segala-galanya diatur dengan baik. Sejurus kemudian dia diberitahu secara sulit bahawa perdebatan di Saqifah sedang berlaku. Lantas dia, Abu Bakar dan Abu Ubaidah meninggalkan jenazah Nabi SAWA menuju Saqifah tanpa diketahui oleh Bani Hasyim.
21. Khalifah Umar telah melarang mahr (mas kahwin) yang tinggi. Dia berkata:"Sesiapa yang menaikkan mahr anak perempuannya, aku akan mengambilnya dan menjadikannya milik Baitul Mal." Ijtihad Umar telah ditentang oleh seorang wanita lalu dia membaca firman Tuhan di dalam Surah al-Nisa' (4):20"Sekiranya kamu telah memberikan kepada seorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambilnya kembali barang sedikitpun."Umar menjawab:"Orang ramai lebih alim daripada Umar sehingga gadis-gadis sunti di rumah-rumah."[Fakhruddin al-Razi, Mafatih al-Ghaib,II, hlm. 175; al-Suyuti, al-Durr al-Manthur,II, hlm. 133) Kata-kata Umar itu tidak boleh difahami sebagai tawadhuk, kerana ia melibatkan hukum Allah SWT.
22. Khalifah Umar telah mengharamkan haji tamattu'. Ianya bertentangan dengan Sunnah Nabi SAWA yang tidak pernah mengharamkannya [Ibn Kathir, Tafsir,I,hlm. 233; al-Bukhari, Sahih, VII, hlm. 33]
23. Khalifah Umar tidak melaksanakan hukum had ke atas Mughirah bin Syu'bah yang dituduh berzina dengan Umm Jamil isteri kepada Hajaj bin Atiq bin al-Harith bin Wahab al-Jusyami dengan berkata:"Aku sedang melihat muka seorang lelaki di mana Allah tidak akan mencemarkan lelaki Muslim dengannya." Maka saksi tersebut tidak memberikan penyaksiannya yang tepat kerana mengikut kehendak Umar. Di dalam riwayat yang lain Umar memberi isyarat kepada saksi yang keempat supaya tidak memberika keterangan yang
tepat. Keempat orang saksi tersebut telah memberi penyaksian yang tepat semasa mereka di Basrah.
Tetapi Umar mengadakan pengadilan yang kedua di Madinah. Apabila saja saksi yang keempat tidak memberikan penyaksian yang tepat sebagaimana diberikannya di Basrah, maka Umar pun melakukan had ke atas tiga saksi tersebut. Seorang saksi bernama Abu Bakar berkata:"Demi Allah, Mughirah telah melakukannya. Umar ingin mengenakan had ke atasnya kali kedua."Ali AS berkata:"Jika anda melakukannya maka rejamlah al-Mughirah bin Syu'bah tetapi dia enggan melakukannya."[Al-Hakim, al-Mustadrak, III, hlm. 448; Ibn Hajr, al-Isabah, III, hlm. 452; Ibn Athir, Usd al-Ghabah, IV, hlm. 407; al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, III, hlm. 88]
24. Khalifah Umar mengintai satu kumpulan rumah mereka di waktu malam dengan memasukinya melalui pintu belakang tanpa salam. Kelakuannya itu adalah menyalahi firmanNya di dalam Surah al-Hujurat (49):12:"Dan janganlah kamu mengintai-intai atau mencari-cari kesalahan orang lain."Dan firmanNya di dalam Surah al-Baqarah (2):189:"Dan masukilah rumah-rumah itu melalui pintu-pintunya." Dan firmanNya di dalam Surah al-Nur (24):27:"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya."
Lantaran itu tindakannya adalah bertentangan dengan ayat-ayat tersebut.[al-Suyuti, al-Durr al-Manthur,VI, hlm.93; al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, VIII, hlm. 334]
25. Khalifah Umar telah memerintahkan supaya di rejam seorang wanita gila (yang berzina). Maka Ali AS memperingatkannya dan berkata:"Qalam diangkat daripada orang gila sehingga dia sembuh."Umar pun berkata:"Sekiranya tidak ada Ali, nescaya binasalah Umar."[Ibn Abd al-Birr, al-Isti'ab, III, hlm. 39; al-Tabari, Dhakhair al-Uqba, hlm. 80]
26. Khalifah Umar tidak membenarkan orang Islam yang bukan Arab mewarisi pusaka keluarga mereka melainkan mereka dilahirkan di negeri Arab.[Malik, al-Muwatta,II, hlm.12] Oleh itu ijtihad Umar adalah bertentangan dengan al-Qur'an dan Sunnah Nabi SAWA yang tidak membezakan seseorang melainkan dengan taqwa dan ianya juga mengandungi sifat asabiyah sebagaimana firmanNya di dalam Surah al-Hujurat (49):10:"Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu adalah bersaudara." Dan Nabi SAWA bersabda:"Tidak ada kelebihan orang Arab ke atas bukan Arab melainkan dengan taqwa."[Al-Haithami, Majma'al-Zawa'id, III, hlm. 226]
27. Khalifah Umar tidak pernah mengadakan korban (penyembelihan) kerana khuatir kaum Muslimin akan menganggapnya wajib.[al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra,IX, hlm. 265; Syafi'i, al-Umm, II, hlm. 189] Tindakannya adalah bertentangan dengan al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAWA yang menggalakkan amalan tersebut. Dan kaum Muslimin sehingga hari ini mengetahui ianya adalah sunat.
28. Khalifah Umar mengakui bahawa dia tidak mengetahui tentang al-Qur'an, hukum halal-haram dan masalah pusaka. Dia berkata:"Siapa yang ingin bertanya tentang al-Qur'an, maka hendaklah dia bertanya kepada Ubayy bin Ka'ab. Sesiapa yang ingin mengetahui halal dan haram, maka hendakah dia bertanya kepada Muadh bin Jabal. Sesiapa yang ingin mengetahui tentang ilmu faraidh, hendaklah dia bertanya kepada Zaid bin Thabit. Dan siapa yang ingin meminta harta maka hendaklah dia datang kepadaku kerana akulah penjaganya.[al-Hakim, al-Mustadrak, III, hlm. 271; Abu Ubaid, Kitab al-Amwal, hlm. 223; al-Baihaqi, al-Sunan, VI, hlm. 210] Ketiga-tiga ilmu tersebut dikuasai oleh orang lain. Dia hanya penjaga harta.
29. Khalifah Umar melarang kaum Muslimin memakan daging dua hari berturut-turut. Dan dia telah memukul seorang lelaki yang melakukannya dengan cemeti. [al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, V, hlm. 161; Ibn al-Jauzi, Sirah Umar, hlm. 68] Tindakan khalifah Umar adalah bertentangan dengan firman Tuhan di dalam Surah al-A'raf (7):32;"Katakanlah:Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya dan (siapakah pula yang mengharamkan) rezeki yang baik?"
30. Khalifah Umar menakut-nakutkan dan menggertak seorang wanita supaya membuat pengakuan tentang perzinaannya. Lalu wanita tersebut membuat pengakuannya. Maka khalifah Umar memerintahkan supaya ia direjam. Lalu Ali AS bertanya kepadanya:"Tidakkah anda mendengar Rasulullah SAWA bersabda:"Tidak dikenakan hukum had ke atas orang yang membuat pengakuan selepas ujian (bala') sama ada ia diikat, ditahan atau diugut? Oleh itu lepaskanlah dia.Maka Umar berkata:Wanita-wanita tidak terdaya untuk melahirkan seorang seperti Ali. Sekiranya Ali tidak ada nescaya binasalah Umar.[Fakhruddin al-Razi, al-Araba'ain, hlm. 466; al-Khawarizmi di dalam Manaqibnya, hlm. 48; al-Tabari Dhakha'ir al-'Uqba,hlm. 80]
31. Khalifah Umar tidak mengetahui tempat untuk memulakan umrah. Kemudian dia berkata:"Tanyalah Ali."[al-Tabari di dalam Dhakha'ir al-Uqba, hlm. 89; al-Muhibb al-Tabari, al-Riyadh al-Nadhirah, II, hlm. 195]
32. Khalifah Umar telah memerintahkan supaya perpustakaan-perpustakaan di Iran dan Iskandariah dibakar atau dicampakkanbuku-bukunya ke laut. Ditanya kenapa dia memerintahkannya. Dia menjawab:Allah telah memberikan kepada kita hidayah
yang lebih baik daripada itu.
Perpustakaan-perpustakaan tersebut mengandungi banyak buku-buku ilmiah di dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan seperti ilmu hisab, falak, hikmah, kedoktoran, dan lain-lain. Tetapi khalifah Umar tidak menghargainya.[Ibn al-Nadim, al-Fihrist, hlm. 334; Ibn Khaldun, Tarikh, I, hlm. 32; Ibn al-Jauzi, Sirah al-Umar, hlm. 107]
33. Khalifah Umar memerintahkan supaya dipotong pokok bai'ah Ridhwan, kerana kaum Muslimin mengerjakan solat di bawah pokok tersebut bagi mengambil berkat. Apabila berita ini sampai kepada Umar dia memerintahkan supaya ianya dipotong.[Ibn Sa'd, Tabaqat al-Kubra, hlm.608; Ibn Jauzi, Sirah Umar, hlm. 107]Sepatutnya khalifah Umar menjaga pokok tersebut dengan baik sebagai satu peninggalan sejarah yang berharga.
34. Khalifah Umar adalah orang yang pertama mengenakan zakat kuda. Ijtihadnya adalah bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAWA : "Aku memaafkan kalian zakat kuda dan hamba." [al-Baladhuri, Ansab al-Asyraf,V,hlm.26; al-Bukhari, Sahih, III, hlm. 30; Ahmad bin Hanbal; al-Musnad, I, hlm. 62; al-Sayuti, Tarikh al-Khulafa', I, hlm. 137]
35. Khalifah Umar tidak mengetahui hukum orang yang syak tentang rakaat solatnya bagaimana hendak dilakukannya. Dia bertanya kepada seorang budak: Apabila seorang itu syak bilangan solatnya, apakah ia harus lakukan?" Sepatutnya dia telah bertanya kepada Rasulullah SAWA mengenainya. [Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, I, hlm. 190; al-Baihaqi, Sunan, II, hlm. 332]
36. Khalifah Umar mengharamkan memakai bauan (perfume) bagi orang yang mengerjakan haji sehingga mereka melakukan tawaf ifadhah. Ijtihadnya adalah menyalahi Sunnah Rasulullah SAWA di mana Aisyah berkata: Aku meletakkan bauan ke atas Rasulullah SAWA sebelum beliau mengerjakan tawaf ifadhah. [Malik, al-Muwatta', I, hlm. 285; al-Turmudhi, Sahih, I, hlm. 173; al-Bukhari, Sahih, III, hlm. 58; Muslim, Sahih, I, hlm. 330]
37. Khalifah Umar tidak mengetahui faedah Hajr al-Aswad. Dia berkata: "Hajr al-Aswad tidak memberi sebarang faedah dan kemudharatan." Sekiranya dia tidak melihat Rasulullah SAWA mengucupnya, nescaya dia tidak mengucupnya. Kata-kata Khalifah Umar tersebut adalah menyalahi Sunnah Rasulullah SAWA , beliau bersabda: "Hajr al-Aswad diturunkan dari Syurga warnanya putih seperti susu. Tetapi ianya bertukar menjadi hitam disebabkan dosa manusia." Dan sabdanya lagi: "Demi Allah.Dia akan membangkitkannya di Hari Kiamat, ianya mempunyai dua mata dan satu lidah yang akan bercakap dan memberi penyaksian kepada orang yang telah mengucupnya". [al-Turmudhi, Sahih, I, hlm. 180; al-Nasa'i, Sahih, II, hlm. 37; Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, II, hlm. 3]
38. Khalifah Umar tidak memberi khums kepada kerabat Rasulullah SAWA . Ijtihad beliau adalah menyalahi firman-Nya dalam Surah al-Anfal 8:41 dan berlawanan dengan Sunnah Rasulullah SAWA. [al-Zamakhsyari, al-Kasysyaf, II, hlm. 127; Ahmad binHanbal, al-Musnad, I, hlm. 248]
39. Khalifah Umar berkata bahawa memukul isteri tidak akan dikenakan dosa. Dia mengaitkan kata-kata ini dengan RasulullahSAWA. [Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, I, hlm. 20], sebenarnya ianya bertentangan dengan firman-Nya di dalam Surah an-Nahl 16:90: "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan Allahmelarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan".
40. Khalifah Umar melarang hadis "khabar gembira" bahawa setiap orang yang mengucapkan dua kalimah syahadat dengan yakin, akan masuk syurga. Kerana dia khuatir kaum Muslim hanya mengucap dua kalimah syahadat kemudian meninggalkan amalan lain. Dia berkata kepada Rasulullah SAWA : Adakah anda mengutuskan Abu Hurairah dengan khabar tersebut? Rasulullah menjawab:Ya. Umar berkata kepada Rasulullah SAWA: "Janganlah anda melakukannya". [Ibn al-Jauzi, Sirah Umar, hlm. 38; Ibn Abi al-Hadid, Syarh Nahj al-Balaghah, III, hlm. 108]. Sepatutnya dia tidak melarang Rasulullah SAWA untuk melakukannya.
41. Khalifah Umar tidak mengetahui apakah bacaan Rasulullah SAWA di dalam solat Hari Raya. [Muslim, Sahih, I, hlm, 242; Abu Daud, Sunan, I, hlm. 180; Malik, al-Muwatta', I, hlm. 147; Ibn Majah, Sunan, I, hlm. 388; al-Turmudhi, Sahih, I, hlm. 106; al-Nisa'i, Sahih, III, hlm. 184]. Sepatutnya dia mengetahui surah-surah yang dibaca oleh Rasulullah SAWA di dalam solat Hari Raya.
42. Khalifah Umar melarang kaum Muslimin berpuasa pada bulan Rajab. Dia berkata: "Apa itu bulan Rajab? Bulan Rajab hanya bulan yang dimuliakan oleh orang-orang Jahiliyah. Dan apabila datang agama Islam, ianya ditinggalkan. Sebenarnya Khalifah Umar tidak mengetahui kelebihan bulan Rajab. Ijtihadnya itu adalah bertentangan dengan Sunnah Rasulllah SAWA yang menggalakkan setiap Muslim supaya berpuasa tiga hari pada setiap bulan, termasuk bulan Rajab. [al-Bukhari, Sahih, III, hlm. 215; Muslim, Sahih, I, hlm. 318; Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, I, hlm. 326; Abu Daud, Sunan, I, hlm. 381]
43. Khalifah Umar tidak membunuh Dzu al-Thadyah (ketua Khawarij) sedangkan Rasulullah SAWA telah memerintahkannya supaya membunuhnya. Dia berkata:"Bagaimana aku membunuh lelaki yang sedang sujud?" Kemudian Rasulullah SAWA bertanya lagi:Siapa lagi yang akan membunuhnya?"Ali menjawab:"Aku."Rasulullah SAWA bersabda:"Sekiranya anda mendapatinya."Ali pun pergi tetapi tidak mendapatinya. Rasulullah SAWA bersabda:"Sekiranya lelaki itu dibunuh, tidak akan ada dua lelaki yang berselisih faham."[Ahmad bin Hanbal, al-Musnad,III, hlm. 15]Sepatutnya Khalifah Umar membunuhnya tanpa mengambil kira keadaannya kerana Rasulullah SAWA telah memerintahkannya. Tetapi dia menggunakan ijtihadnya bagi menyalahi Sunnah Rasulullah SAWA.
44. Khalifah Umar tidak boleh memahami ungkapan-ungkapan yang tinggi. Dia bertanya kepada seorang lelaki:"Bagaimana keadaan anda?"Lelaki itu menjawab:"Aku adalah di kalangan orang yang mencintai fitnah, membenci al-Haqq dan memberi penyaksian kepada orang yang tidak dilihat."Lalu dia memerintahkan supaya lelaki itu ditahan. Maka Ali AS menyuruh supaya ianya dilepaskan seraya berkata:"Apa yang diucapkan oleh lelaki itu adalah benar."Umar berkata:"Bagaimana anda dapat mengatakan ianya benar?"Ali AS menjawab:"Dia mencintai harta dan anak sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Anfal(8):28:"Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai fitnah."Dan dia membenci kematian maka ia adalah al-haqq. Dan dia memberi penyaksian bahawa Muhammad adalah Rasulullah sekalipun dia tidak melihatnya.Kemudian Umar memerintahkan supaya ia dilepaskan.[Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Turuq al-Hukmiyyah, hlm.46]
45. Khalifah Umar telah menjatuhkan airmuka Rasulullah SAWA di hadapan Musyrikin yang datang berjumpa Rasulullah SAWA supaya mengembalikan hamba-hamba mereka yang lari dari mereka. Musyrikin berkata:Hamba-hamba kami telah datang kepada anda bukanlah kerana mereka cinta kepada agama, tetapi mereka lari dari menjadi milik kami dan harta kami. Justeru itu kembalilah mereka kepada kami. Lebih-lebih lagi kami adalah jiran anda dan orang yang membuat perjanjian damai dengan anda.Walau bagaimanapun Rasulullah SAWA tidak mahu menyerahkan hamba-hamba tersebut kepada mereka kerana khuatir mereka akan menyiksa hamba-hamba tersebut. Tetapi beliau tidak mahu mendedahkan hakikat ini kepada mereka. Lalu Rasulullah SAWA bertanya kepada Umar.Maka Umar menjawab:"Benar kata-kata mereka itu wahai Rasulullah. Mereka itu adalah jiran kita dan mereka telah membuat perjanjian damai dengan kita."Maka muka Rasulullah SAWA berubah kerana jawapannya menyalahi apa yang dikehendaki oleh Rasulullah SAWA.[Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, I, hlm.155;al-Nasa'i, al-Khasa'is, hlm. 11]
46. Khalifah Umar menjadikan mahr wanita berkahwin sebelum tamat iddahnya untuk Baitul Mal. Kemudian dia memisahkan pasangan tersebut dan berkata: Nikah adalah haram, mahr adalah haram dan kedua-duanya tidak boleh berkahwin lagi.Ali berkata:Sekiranya lelaki itu tidak mengetahuinya, wanita tersebut berhak mengambil mahrnya dan dipisahkan pasangan tersebut. Dan apabila tamat ‘iddahnya dia menjadi peminangnya. Didalam ertikata yang lain dia hendaklah menyempurnakan iddahnya yang pertama kemudian menyempurnakan pula iddahnya yang kedua."Lalu Umar berkata:"Kembalikan" "kejahilan" kepada Sunnah.[Al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, VII, hlm. 441; al-Tabari, Dhakha'ir al-'Uqba, hlm. 81] Persoalan yang timbul ialah kenapakah dia menjadikan mahr hal Baitul Mal dan bukan hak wanita tersebut dan kenapakah dia mengharamkan wanita tersebut ke atas lelaki tersebut? Manakah ayat atau Sunnah yang membolehkan khalifah Umar melakukan sedemikian? Oleh itu ijtihadnya adalah menyalahi al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAWA.
47. Khalifah Umar mempelajari Surah al-Baqarah selama dua belas tahun. Dan apabila dia selesai mempelajarinya (khatam),dia menyembelih beberapa ekor unta.[al-Qurtubi, Ahkam al-Qur'an, I, hlm. 34; al-Durr al-Manthur, I, hlm. 21] Oleh itu untuk mempelajari kesemua al-Qur'an dia memerlukan kepada masa yang lebih lama. Ini sebelum khalifah Umar menjadi seorang yang pelupa, kadangkala dia melupai bilangan raka'at sembahyang, lalu dia menyuruh seorang lelaki berdiri di hadapannya bagi memberikan isyarat kepadanya supaya dia berdiri ataupun rukuk, kemudian dia melakukannya.[Ibn Jauzi, Sirah Umar , hlm. 135; Ibn Abi l-Hadid, Syarh Nahj al-Balaghah, III, hlm. 110]
48. Khalifah Umar telah menjadikan "enam jengkal" sebagai ukuran baligh. Dia berkata:"Sekiranya kalian mendapati budak lelaki yang mencuri itu setinggi enam jengkal (sittah asyar) genap, maka kalian potonglah tangannnya. Jika tidak tinggallah dia."
Di riwayatkan daripada Sulaiman bin Yasar,"Sesungguhnya Umar mendatangi seorang budak lelaki yang telah mencuri, lalu dia mengukur budak tersebut, tetapi ianya tidak mencukupi enam jengkal tepat lalu ditinggalkannya."[al-Muttaqi al-Hindi,Kanz al-Ummal,I, hlm. 116]
Oleh itu ijtihadnya itu adalah bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAWA yang menetapkan baligh melalui ihtilam (mimpi) dan tumbuh bulu di kemaluan.[al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, V, hlm. 54-55]
49. Khalifah Umar menyesali menjadi seorang manusia. Dia berkata:"Alangkah beruntungnya jika aku menjadi seekor kambing keluargaku. Mereka menggemukkan aku seperti yang mereka suka. Kemudian aku menjadi makanan kepada orang yang menyukainya. Mereka menghiris sebahagian dariku dan memanggang sebahagian yang lain. Kemudian mereka memakan aku dan mereka mengeluarkan aku sebagai najis dan aku tidak menjadi manusia lagi."[al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, VI,hlm. 345; Ibn Taimiyyah, Minhaj al-Sunnah, III, hlm. 131; Abu Nu'im, Hilyah al-Auliya', I, hlm. 52]
Sepatutnya khalifah Umar tidak mengeluarkan kata-kata tersebut kerana ianya bertentangan dengan Surah al-Tin (95):4:"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."Dan jika dia benar seorang wali Allah kenapa dia menyesal menjadi manusia, sedangkan Allah telah memberi jaminan di dalam Surah Yunus (10):62:"Ingatlah, sesungguhnya walil-wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati."
50. Khalifah Umar telah menhentikan pemberian zakat kepada muallaf.[al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa, hlm. 137 dan lain-lain]Tindakan ini adalah bertentangan dengan al-Qur'an Surah al-Taubah (4):60,"Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untukorang-orang faqir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dibujuk hatinya...."
51. Khalifah Umar memohon keizinan 'Aisyah supaya ianya disemadikan di sisi Rasulullah SAWA, lalu 'Aisyah menyetujui permohonannya.[al-Bukhari, Sahih, V, hlm. 266] Persoalannya kenapakah dia memohon izin daripada 'Aisyah? Adakah 'Aisyah menerima pusaka Rasulullah SAWA? Dimana kata-kata "Kami para Nabi tidak meninggalkan pusaka?" Jika beliau meninggalkan pusakanya tidakkah pewaris-pewaris anak perempuannya lebih berhak daripada 'Aisyah kerana saham 'Aisyah hanya sepersembilan daripada seperlapan? Nampaknya khalifah Umar sudah tidak mempercayai kata-kata"Kami para Nabi tidak meninggalkan pusaka." Lantas dia memohon izin daripada 'Aisyah. Sepatutnya dia memohon izin dari pewaris-pewaris Fatimah AS yang mempunyai hak yang lebih banyak daripadanya.
52. Khalifah Umar mengakui kegelisahan dan ketakutannya bagi menghadapi Allah SWT. Ibn Abbas berkata kepadanya selepas dia ditikam"Wahai Amirul Mukminin tidakkah anda telah bersahabat dengan RAsulullah dan persahabatan anda dengannya adalah baik. Kemudian beliau meninggalkan anda di dalam keadaan redha terhadap anda. Kemudian anda bersabahat pula dengan Abu Bakar, maka persahabatan anda dengannya adalah baik, dia meninggalkan anda di dalam keadaan redha terhadap anda.
Kemudian anda bersahabat dengan sahabat-sahabat mereka, maka persahabatan anda adalahbaik dan sekiranya anda meninggalkan mereka, maka mereka meredhai anda."Umar menjawab:"Adapun apa yang andasebutkan tadi tentang persahabatan dengan Rasulullah dan keredhaannya, ianya merupakan satu kurniaan daripada Allah SWT yang dilimpahkan kepadaku. Adapun apa yang anda sebutkan tentang persahabatan dengan Abu Bakar dan keredhaannya, maka ianya juga satu kurniaan daripada Allah SWT yang dilimpahkan kepadaku. Tetapi apa yang anda lihat tentang kegelisahan dan ketakutanku adalah kerana anda dan para sahabat anda.Demi Allah sekiranya aku mempunyai segunung emas, nescaya aku menebus diriku dengannya dari azab Allah sebelum aku menemui-Nya." [al-Bukhari, Sahih, II, hlm. 201] Sikap sedemikian telah diterangkan oleh Allah SWT di dalam Surah Yunus (10):54:"Dan kalau setiap diri yang zalim itu mempunyai segala apa yang ada di bumi ini, tentu dia menebus dirinya dengan itu..."
Dan sekiranya dia seorang wali Allah, dia tidak perlu khuatir dengan azab Allah SWT. Kerana Dia berfirman di dalam Surah Yunus (10):62:"Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati iaitu orang-orang yang beriman dan selalu bertaqwa bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat Allah yang demikian itu adalah kemenangan yang besar."
Pengakuan sedemikian telah dilakukan juga oleh khalifah Abu Bakar, al-Barra bin 'Azib, 'Aisyah dan Anas bin Malik. Al-Bukhari, Sahih, I, hlm. 74 meriwayatkan bahawa Anas bin Malik berkata:'Tidak ada suatupun yang aku ketahui di zaman Nabi SAWA lebih baik dari sembahyang (solat). Dia berkata:"Tidakkah kalian telah menghilangkan sesuatu padanya?"Dan al-Zuhri berkata:"Aku berjumpa Anas bin Malik di Damsyik ketika itu dia sedang menangis.
Aku bertanya kepadanya:Apakah yang menyebabkan anda menangis? Dia menjawab:Aku tidak mengetahui sesuatupun selain dari sembahyang (solat) itupun telah dihilangkan." Al-Bukhari, Sahih, II, hlm. 154 dan Muslim, Sahih, I, hlm. 260, meriwayatkan bahawa khalifah Uthman dan 'Aisyah telah mengubah Sunnah Rasulullah SAWA mengenai sembahyang. Kerana mereka mengerjakan sembahyang empat rakaat (itmam) di Mina sedangkan Rasulullah SAWA mengerjakan sembahyang dua rakaat (qasr) di Mina.
Al-Bukhari juga di dalam Sahihnya, I, hlm. 122 meriwayatkan daripada Abi Sa'id al-Khudri,dia berkata:"Rasulullah SAWA keluar sembahyang di hari 'Aid al-Fitr dan 'Aid al-Adha ke masjid, kemudian beliau berjumpa dengan orang-orang di barisan depan. Kemudian beliau mulai berkhutbah menasihati mereka, menyuruh mereka atau menyelesaikan isu-isu semasa. Dan selepas itu beliaupun pergi."Abu Sa'id berkata:"Cara demikian berterusan sehingga pada suatu hari aku keluar bersama Marwan gabenor Madinah pada masa itu, ke masjid yang mempunyai mimbar yang dibina oleh Kathir bin al-Salt.
Marwan terus menuju ke mimbar tersebut sebelum bersembahyang. Kemudian aku menarik kainnya. Tetapi dia menolakku dan terus ke mimbar dan memberi khutbah kepada orang ramai sebelum dia bersembahyang. Maka akupun berkata kepadanya:Demi Allah, kalian telah mengubah Sunnah Rasulullah.Dia menjawab:Wahai Abu Sa'id, apa yang anda ketahui telah hilang begitu sahaja.Aku menjawab:Apa yang aku ketahui adalah lebih baik, demi Allah, daripada apa yang aku tidak mengetahuinya.Marwan berkata:Orang ramai tidak akan duduk mendengar khutbah kita selepas sembahyang. Justeru itu aku jadikannya (khutbah) sebelum sembahyang."
Oleh itu pengakuan-pengakuan tersebut membuktikan bahawa sahabat bukan semuanya adil. Malah ada yang mengubah Sunnah Rasulullah SAWA.Dan mungkin inilah yang membuatkan mereka merasa khuatir terhadap azab Allah SWT.Dan mereka mengakui bahawa tidak ada keistimewaan menjadi sahabat Rasulullah SAWA jika mereka mengubah Sunnahnya pula.
53. Khalifah Umar berhasrat untuk melantik Salim hamba Abu Huzaifah menjadi khalifah sekiranya ia masih hidup. Oleh itu kata-katanya adalah bertentangan dengan kata-katanya yang menyokong Abu Bakar di Saqifah. Para imam mestilah daripada Quraisy kerana Salim adalah seorang hamba dan dia bukanlah daripada Quraisy.[Ibn Qutaibah, al-Imamah wal-Siyasah, I, hlm.19]
54. Khalifah Umar menghukum rejam ke atas wanita yang mengandung selama enam bulan kemudian melahirkan anak.Lalu Ali AS membantahnya dan membacakan firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahqaf (46):15:"Ibunya mengandungkannya sampai menyusunya adalah tiga puluh bulan" dan firmanNya di dalam Surah Luqman (31):14:"Penyusuannya selama dua tahun."
Oleh itu "mengandung" sekurang-kurangnya ialah enam bulan dan penyusuannya ialah selama dua tahun.Kemudian Umar menarik balik hukumannya dan berkata:"Sekiranya tidak ada Ali, nescaya binasalah Umar."[al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, I,hlm. 288; al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, III, hlm. 96;al-Tabari, Dhakha'ir al-Uqba, hlm. 82, dan lain-lain]
55. Khalifah Umar telah mengenakan hukum had ke atas Ja'dah dari Bani Sulaim tanpa saksi yang mencukupi. Dia memadai dengan sepucuk surat yang mengandungi syair mengenai perzinaannya yang dihantar oleh Buraid.[Ibn Sa'd, Tabaqat, III, hlm. 205]Lantaran itu ijtihadnya adalah bertentangan dengan al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAWA yang memerlukan empat orang saksi atau pengakuan secara sukarela.
56. Khalifah Umar telah lari di dalam peperangan Uhud, Hunain, dan Khaibar.[al-Bukhari, Sahih, III, hlm. 46; al-Hakim, al-Mustadrak, III, hlm.37; al-Dhahabi, al-Talkhis, III, hlm. 37 dan lain-lain]
57. Khalifah Umar telah mengambil separuh dari harta kekayaan gabenor-gabenornya kerana dia mengesyaki mereka melakukan pecah amanah terhadap Baitul Mal. Persoalan yang timbul, sekiranya harta tersebut adalah hasil dari kecurian dari Baitul Mal, maka ianya wajib dikembalikan kesemuanya, dan bukan dengan cara membahagi dua. Dan mereka pula wajib dipecat daripada jawatan tersebut kerana mereka telah melakukan pecah amanah. Tetapi khalifah Umar tidak memecat kesemua mereka. Dan sekiranya harta tersebut diusahakan oleh mereka melalui jalan yang halal seperti perniagaan atau seumpamanya, maka dia tidak harus mengambil daripada mereka. Kerana tidak halal mengambil harta seorang Muslim melainkan dengan keredhaannya. Malah dia telah mengambilnya daripada mereka secara paksaan.[Ibn Abil Hadid, Syarh Nahjal-Balaghah, III, hlm. 163]
58. Khalifah Umar telah memaafkan gabenornya Muawiyah di Syam dari membahagi dua hartanya. Sedangkan Muawiyah dikenali sebagai seorang yang mengambil harta Baitul Mal Muslimin. Tetapi sebaliknya mempertahankan kedudukannya dengan mengatakan bahawa dia adalah kisra Arab. Sedangkan Nabi SAWA telah memarahinya dan bapanya. Sepatutnya dia tidak melantiknya sebagai gabenor di Syam kerana orang lain lebih layak daripadanya.[al-Tabari, Tarikh, XI, hlm. 357]
59. Khalifah Umar telah memerintahkan rejam wantia yang sedang hamil kerana melakukan zina. Ali AS membantahnya dan berkata:"Sekiranya anda mempunyai kuasa ke atasnya tetapi anda tidak mempunyai kuasa ke atas janinnya."Kemudian Umar berkata:"Setiap orang adalah lebih alim daripadaku."[al-Tabari, Dhakha'ir al-Uqba, hlm. 81]
60. Khalifah Umar telah menjalankan hukum had ke atas Abdul Rahman pada kali kedua kerana meminum arak. Sebenarnya Umru bin al-'As telah menjalankan hukum had keatasnya di Mesir dan disaksikan oleh anaknya, Abdullah bin Umar. Tetapi khalifah Umar tidak mengindahkannya. Kemudian dia memukulnya pada kali kedua:"Abdul Rahman melaung meminta tolong sambil berkata:"Aku sedang sakit, demi Tuhan, anda (Umar) adalah pembunuhku." Dan selepas dia menjalankan had keatasnya dia menahannya pula selama sebulan, kemudian dia meninggal dunia. Sepatutnya dia tidak mengenakan had keatasnya pada kali kedua dan menunggu sehingga dia sembuh dari sakitnya serta tidak menahannya pula.[Ibn Abd Rabbih, al-Aqd al-Farid, III, hlm. 470; al-Khatib, Tarikh Baghdad, VI, hlm. 450; Ibn Abil Hadid, Syarh Nahj al-Balaghah, III, hlm. 127]
61. Khalifah Umar kurang mengetahui ilmu faraidh. Dia berkata:"Sesiapa yang ingin bertanya tentang ilmu faraidh, maka hendaklah dia bertanya kepada Zaid bin Tsabit. Dan sesiapa yang ingin harta, hendaklah dia memohon kepadaku kerana aku adalah penjaganya."[al-Hakim, al-Mustadrak, III, hlm. 271; Abu Ubaid, Kitab al-Amwal, hlm. 223]
62. Khalifah Umar adalah orang yang pertama mengharamkan nikah mut'ah.[al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa', hlm. 137] Kenyataanal-Suyuti bererti:
a) Nikah mut'ah adalah halal menurut Islam.
b) Khalifah Umarlah yang mengharamkan nikah mut'ah yang telah dihalalkan pada masa Rasulullah SAWA, khalifah Abu Bakar dan pada masa permulaan zaman khalifah Umar.
c) Umar mempunyai kuasa veto yang boleh memansuhkan atau membatalkan hukum nikah mut'ah sekalipun ianya halal di sisi Allah dan RasulNya. Al-Suyuti seorang Mujaddid Ahlil Sunnah abad ke-6 Hijrah mempercayai bahawa nikah mut'ah adalah halal, kerana pengharamannya adalah dilakukan oleh Umar dan bukan oleh Allah dan RasulNya.Kenyataan al-Suyuti adalah berdasarkan kepada al-Qur'an dan kata-kata Umar sendiri.
Sebenarnya para ulama Ahlul Sunnah sendiri telah mencatat bahawa Umarlah yang telah mengharamkan nikah mut'ah sepertiberikut:
a) Al-Baihaqi di dalam al-Sunan, V, hlm. 206, meriwayatkan kata-kata Umar,"Dua mut'ah yang dilakukan pada masaRasulullah SAWA tetapi aku melarang kedua-duanya dan aku akan mengenakan hukuman ke atasnya, iaitu mut'ahperempuan dan mut'ah haji.
b) Al-Raghib di dalam al-Mahadarat, II, hlm. 94 meriwayatkan bahwa Yahya bin Aktam berkata kepada seorang syaikh di Basrah:"Siapakah orang yang anda ikuti tentang harusnya nikah mut'ah."Dia menjawab:"Umar al-Khatab."Dia bertanya lagi,"Bagaimana sedangkan Umarlah orang yang melarangnya."Dia menjawab:"Mengikut riwayat yang sahih bahawa dia menaiki mimbar masjid dan berkata:Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah menghalalkan untuk kalian dua mut'ah tetapi aku aku mengharamkan kedua-duanya (mut'ah perempuan dan mut'ah haji). Maka kami menerima kesaksiannya tetapi kami tidak menerima pengharamannya."
c) Daripada Jabir bin Abdullah, dia berkata:"Kami telah melakukan nikah mut'ah dengan segenggam kurma dan gandum selama beberapa hari pada masa Rasulullah dan Abu Bakar sehingga Umar melarang dan mengharamkannya dalam kes Umru bin Harith.[Muslim, Sahih, I, hlm. 395; Ibn Hajar, Fatih al-Bari, IX, hlm.41; al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, VIII, hlm.294]
d) Daripada Urwah bin al-Zubair,"Sesungguhnya Khaulah bt. Hakim berjumpa Umar al-Khattab dan berkata:"Sesungguhnya Rabiah bin Umaiyyah telah melakukan nikah mut'ah dengan seorang perempuan, kemudian perempuan itu mengandung, maka Umar keluar dengan marah dan berkata:"Sekiranya aku telah memberitahukan kalian mengenainya awal-awal lagi nescaya aku merejamnya."Isnad hadith ini adalah tsiqah, dikeluarkan oleh Malik di dalam al-Muwatta', II, hlm. 30;al-Syafi'i, al-Umm, VII, hlm. 219;al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, VII, hlm. 206]
e) Kata-kata Ali AS,"Sekiranya Umar tidak melarang nikah mut'ah nescaya tidak seorang pun berzina melainkan orang yang celaka."[al-Tabari, Tafsir, V, hlm. 9; Fakhruddin al-Razi, Mafatih al-Ghaib, III, hlm.200; al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, II, hlm.140]
Kata-kata Ali AS ini menolak dakwaan orang yang mengatakan bahawa Ali telah melarang nikah mut'ah kerana beliau tidak memansuhkan ayat di dalam Surah al-Nisa' (4):24.
f) Daripada Ibn Juraij, daripada 'Ata' dia berkata:"Aku mendengar Ibn Abbas berkata:Semoga Allah merahmati Umar, mut'ah adalah rahmat Tuhan kepada umat Muhammad dan jika ia tidak dilarang (oleh Umar) nescaya seorang itu tidak perlu berzina melainkan orang yang celaka."[al-Jassas, al-Ahkam al-Qur'an, II, hlm. 179; al-Zamakhshari, al-Fa'iq, I, hlm. 331;al-Qurtubi, Tafsir, V, hlm. 130]
Riwayat Ibn Abbas tersebut menafikan dakwaan orang yang mengatakan Ibn Abbas telah menarik balik kata-katanya mengenai mut'ah. Walau bagaimanapun halalnya mut'ah tidak berpandu kepada pendapat Ibn Abbas tetapi berpandu kepada Surah al-Nisa (4): 24 yang tidak dimansuhkan.
Di sini disebutkan nama-nama sahabat dan tabi'in yang telah mengamalkan nikah mut'ah atau mempercayai ia halal sepertiberikut:
1. Umran b. al-Hasin.
2. Jabir b. Abdullah.
3. Abdullah b. Mas'ud.
4. Abdullah b. Umar.
5. Muawiyah b. Abi Sufyan.
6. Abu Said al-Khudri.
7. Salman b. Umaiyyah b, Khalf
8. Ma'bad b. Umaiyyah.
9. al-Zubair bin al-Awwam yang mengahwini Asma' bt khalifah Abu Bakar secara mut'ah selama tiga tahun dan melahirkan duaorang anak lelaki bernama Abdullah da Urwah.
10. Khalid b. Muhajir.
11. Umru b. Harith.
12. Ubayy b. Ka'ab.
13. Rabi'ah b. Umaiyyah.
14. Said b. Jubair.
15. Tawwus al-Yamani.
16. 'Ata' Abu Muhammad al-Madani.
17. al-Sudi.
18. Mujahid.
19. Zufar b. Aus al-Madani.
20. Ibn Juraij.
21. Ali bin Abi Talib.
22. Umar b. al-Khattab sebelum dia mengharamkannya dan diakui leh anaknya Abdullah bin Umar.
Nama-nama tersebut adalah diambil dari buku-buku Hadith Ahlul Sunnah dan lain-lain di mana saya tidak memberi rujukan lengkap kerana kesempitan ruang, lihatlah umpamanya buku-buku sahih bab nikah mut'ah dan lain-lain.
Di sini diperturunkan pendapat-pendapat Ahlul Sunnah yang mengatakan nikah mut'ah telah dimansuhkan, kemudian, diharuskan, kemudian dimansuhkan, kemudian diharuskan kembali. Ia mempunyai 15 pendapat yang berbeza-beza sepertiberikut:
1. Nikah mut'ah diharuskan pada permulaan Islam, kemudian Rasulullah SAWA menegahnya di dalam Peperangan Khaibar.
2. Ia boleh dilakukan ketika darurat di masa-masa tertentu kemudian diharamkan pada akhir tahun Haji Wida'.
3. Ia diharuskan selama 3 hari sahaja.
4. Diharuskan pada tahun al-Autas kemudian diharamkan.
5. Diharuskan pada Haji Wida' kemudian ditegah semula.
6. Diharuskan, kemudian diharamkan pada masa pembukaan Mekah.
7. Ia harus, kemudiannya ditegah dalam Perang Tabuk.
8. Diharuskan pada pembukaan Mekah dan diharamkan pada hari itu juga.
9. Ia dihalalkan pada Umrah al-Qadha'.
10. Ia tidak pernah diharuskan di dalam Islam. Pendapat ini bertentangan dengan al-Qur'an, Sunnah Nabi SAWA, Ahlul Baytnya dan sahabat-sahabat.
11. Ia diharuskan kemudian dilarang pada Perang Khaibar kemudian diizin kembali pada masa pembukaan Mekah kemudian diharamkannya selepas tiga hari.
12. Diharuskan pada permulaan Islam kemudian diharuskan pada Perang Khaibar kemudian diharuskan pada Perang Autas, kemudian diharamkan.
13. Diharuskan pada permulaan Islam pada tahun Autas, pembukaan Mekah dan Umrah al-Qadha' dan diharamkan pada Peperangan Khaibar dan Tabuk.
14. Ia telah diharuskan, kemudian dimansuhkan, kemudian diharuskan, kemudian dimansuhkan, kemudian diharuskan kemudian dimansuhkan.
15. Diharuskan 7 kali, dimansuhkan 7 kali, dimansuhkan pada Peperangan Khaibar, Hunain, 'Umra al-Qadha', tahun pembukaan Mekah, tahun Autas, Peperangan Tabuk dan semasa Haji Wida'.[al-Jassas, Ahkam al-Qur'an, II, hlm. 183; Muslim, Sahih, I, hlm. 394;Ibn Hajr, Fath al-Bari, IX, hlm. 138; al-Zurqani, Syarh al-Muwatta', hlm. 24]
Lihatlah bagaimana perselisihan pendapat telah berlaku tentang nikah mut'ah di mana mereka sendiri tidak yakin bilakah ia dimansuhkan atau sebaliknya. Walau bagaimanapun pendapat-pendapat tersebut memberi erti bahawa hukum nikah mut'ah boleh dipermainkan-mainkan kerana ia mengandungi beberapa proses pengharusan dan pengharaman, oleh itu ianya tidak mungkin dilakukan oleh Allah dan Rasul-Nya. Ianya telah dilakukan oleh al-Zubair bin al-Awwam dengan Asma' bt. khalifah Abu Bakar selama tiga tahun dan melahirkan duaorang anak mut'ah.
Sebenarnya pengharusan nikah mut'ah itu berasal daripada al-Qur'an, firman-Nya (Surah al-Nisa (4):24:"Maka isteri-isteri kamu
yang kamu nikmati (mut'ah) di atas mereka, berikanlah kepada mereka maharnya sebagai suatu kewajipan." Menurut al-Zamakhsyari, ayat ini adalah Muhkamah, iaitu tidak dimansuhkan [al-Kasysyaf,I hlm. 190] iaitu nikah mut'ah adalah halal.
Al-Qurtubi menyatakan, penduduk Mekah banyak melakukan nikah mut'ah [Tafsir,V, hlm. 132]. Fakhruddin al-Razi berkata:"Mereka berselisih pendapat tentang ayat ini, sama ada ia dimansuhkan ataupun tidak, tetapi sebahagian besar berpendapat ayat ini tidak dimansuhkan dan nikah mut'ah adalah harus."[Mafatih al-Ghaib, III, hlm. 200] Abu Hayyan berkata:"Selepas menukilkan hadith yang mengharuskan nikah mut'ah, sekumpulan daripada Ahlul Bayt dan Tabi'in berpendapat nikah mut'ah adalah halal."Ibn Juraij (w.150H)pula berpendapat bahawa nikah mut'ah adalah harus. Imam Syafi'I menegaskan bahawa Ibn Juraij telah bernikah mut'ah dengan 72 orang perempuan, sementara al-Dhahabi pula menyatakan Ibn Juraij telah bermut'ah dengan 90 orang perempuan.[Tadhib al-Tahdhib, VI, hlm. 408]
Perhatikanlah bahawa Ibn Juraij adalah seorang daripada Tabi'in dan imam masjid Mekah, telah berkahwin secara mut'ah dengan 90 orang perempuan dan dia juga telah meriwayatkan hadith yang banyak di dalam sahih-sahih Ahlul Sunnah seperti Bukhari, Muslim dan lain-lain. Ini bererti kitab-kitab sahih tersebut telah dikotori (mengikut bahawa lawan) dan ia tidak menjadisahih lagi sekiranya orang yang melakukan nikah mut'ah itu dianggap penzina.
Ayat tersebut tidak dimansuhkan oleh Surah al-Mukminun ayat 6 dan Surah al-Ma'arij ayat 30, kerana kedua-dua ayat tersebut
adalah Makkiyyah dan ayat Makkiyyah tidak boleh memansuhkan ayat Madaniyyah, begitu juga ia tidak boleh dimansuhkan dengan ayat al-Mirath (pusaka) kerana dalam nikah biasa sekalipun mirath tidak boleh berlaku jika si isteri melakukan nusyuz terhadap suaminya atau isterinya seorang kitabiyah. Sebagaimana juga ia tidak boleh dimansuhkan dengan ayat Talaq, kerana nikah mut'ah dapat ditalak (dapat dibatalkan) dengan berakhirnya masa. Ia juga tidak boleh dimansuhkan dengan hadith mengiku jumhur ulama.
Imam Zulfar berpendapat walaupun ditetapkan, tetapi ia tidak membatalkan akad nikah. Imam Malik pula mengatakan nikah mut'ah adalah harus hingga terdapatnya dalil yang memansuhkannya. Imam Muhammad al-Syaibani mengatakan nikah mut'ah adalah makruh. [al-Sarkhasi, al-Mabsut, V, hlm. 160] Demikianlah beberapa pendapat yang menunjukkan nikah mut'ah adalahharus tetapi ia diharamkan oleh khalifah Umar al-Khattab. Adapun syarat-syarat nikah mut'ah menurut Islam adalah sepertiberikut:
i. Mahar.
ii. Ajal (tempoh)
iii. Akad yang mengandungi ijab dan kabul dan ianya sah dilakukan secara wakil
iv. Perceraian selepas tamatnya tempoh
v. Iddah
vi. Sabitnya nasab (keturunan)
vii. Tidak sabitnya pusaka di antara suami dan isteri jika ia tidak syaratkan.
Inilah syarat-syarat nikah mut'ah mengikut Ahlul Sunnah dan Syiah dan inilah yang telah dilakukan oleh para sahabat dan tabi'in. Adapun kata-kata bahawa 'nikah mut'ah boleh dilakukan dengan isteri orang' adalah satu pembohongan yang besar dan ianya menyalahi nas. Oleh itu para Imam Ahlul Bayt AS dan para ulama Syiah mengharamkannya. Disebabkan ijab sebarang nikah, sama ada nikah mut'ah ataupun da'im (biasa) adalah dipihak perempuan atau wakilnya, maka perempuan tersebut atau wakilnya mestilah mengetahui bahawa 'dia' bukanlah isteri orang, jika tidak, ia tidak boleh melafazkan ijab, "aku nikahkan diriku akan dikau dengan mas kahwinnya sebanyak satu ribu ringgit selama tiga tahun."Umpamanya lelaki menjawab:"Aku terimalah nikah.
Imam Baqir dan Imam Ja'far al-Sadiq AS berkata bahawa pihak lelaki tidak wajib bertanya adakah siperempuan itu isteri orang atau tidak, kerana sudah pasti mengikut hukum syarak perempuan yang akan berkahwin mestilah bukan isteri orang. Jika didapati ia isteri orang maka nikah mut'ah atau nikah biasa itu adalah tidak sah. Walau bagaimanapun adalah disunatkan seorang itu bertanya keadaan perempuan itu sama ada masih isteri orang atau sebagainya.
Mengenai wali Ahlul Sunnah tidak sependapat sama ada wali adalah wajib bagi perempuan yang ingin berkahwin. Abu Hanifah umpamanya menyatakan wali adalah tidak wajib bagi janda dan anak dara yang sudah akil baligh dengan syarat ia berkahwin dengan seorang yang sekufu dengannya.[Malik, al-Muwatta', I, hlm. 183] Abu Yusuf dan al-Syaibani pula berpendapat wali adalah peru tetapi bapa tidak ada hak untuk memaksa anak perempuannya melainkan ia di bawah umur.[Ibn Hazm, al-Muhalla, hlm. 145]
Imam Ja'far al-Sadiq AS berpendapat wali tidak wajib dalam nikah kecuali bagi anak dara. Tetapi ia adalah digalakkan di dalam semua keadaan bagi penentuan harta dan keturunan.[al-Tusi, Tahdbib al-Ahkam, VII, hlm. 262]
Sebenarnya idea wali nikah menurut Imam Malik adalah dikaitkan dengan khalifah Umar al-Khattab yang diriwayatkan oleh
Sa'id bin al-Musayyab, bahawa seorang tidak dibenarkan berkahwin tanpa kebenaran walinya atau keluarganya yang baik atau pemerintah [Sahnun, al-Mudawwannah al-Kubra, IV, hlm. 16]
Mengenai saksi di dalam nikah, Imam Ja'far al-Sadiq AS tidak mewajibkan saksi di dalam nikah mut'ah atau nikah biasa, tetapi ia disunatkan berbuat demikian bagi pengurusan harta dan penentuan nasab keturunan.[al-Tusi, al-Istibsar, III, hlm. 148]
Tidak terdapat di dalam al-Qur'an ayat yang mewajibkan wali dan saksi di dalam nikah, umpamanya firman Allah dalam Surah al-Nisa (4):3....."maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi dua, tiga dan empat." Ini bererti Allah tidak mewajibkan saksi dan wali di dalam perkahwinan kerana untuk memberi kemudahan kepada umat manusia tetapi Dia mewajibkan saksi di dalam perceraian, firmanNya dalam Surah al-Talaq (65):2...."Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu."
Imam Ja'far al-Sadiq AS mengatakan bahawa dua saksi di dalam talak adalah wajib. Walau bagaimanapun beliau tidak menafikan bahawa saksi adalah digalakkan, lantaran itu hadith "Tidak ada nikah melainkan dengan wali dan dua orang saksi" adalah hadith yang lemah. Itulah nikah mut'ah yang dipercayai oleh mazhab Ja'fari dan ia adalah sama seperti yang dilakukan pada zaman Nabi SAWA dan zaman sahabatnya, dengan penjelasan ini, semoga ianya dapat dibezakan di antara pelacuran dan nikah mut'ah.
Kesimpulannya, nikah mut'ah adalah halal sehingga Hari Kiamat berdasarkan Surah al-Nisa (4):24. Ia adalah ayat muhkamah yang tidak dimansuhkan, hanya khalifah Umar sahaja yang memansuhkan nikah mut'ah pada masa pemerintahannya. Oleh ituijtihadnya adalah menyalahi nas, dengan itu kata-kata al-Suyuti bahawa khalifah Umar adalah orang yang pertama mengharamkan nikah mut'ah adalah wajar dan menepati nas. Walau bagaimanapun saya sekali-kali tidak menggalakkan sesiapa pun untuk melakukannya walau di mana sekalipun.
63. Khalifah Umar mengenakan had ke atas lelaki Badwi yang mabuk kerana meminum minuman Umar. Lelaki itu berkata:"Sesungguhnya aku minum dari minuman anda."Umar menjawab:"Aku kenakan had ke atas anda kerana mabuk dan bukan kerana minuman(ku)." Kemudian dia menambahkan air ke dalam minuman tersebut lalu dia meminumnya selepas mengenakan had ke atas lelaki tersebut.[Ibn Abd Rabbih, al-Aqd al-Farid, III, hlm. 416; al-Jassas, Ahkam al-Qur'an, II, hlm. 565; al-Nasai, al-Sunan, VIII, hlm. 326]
Dan ijtihadnya itu adalah bertentangan dengan Sunnah Nabi SAWA:"Aku menegah kalian meminum minuman yang sedikit apabila banyaknya memabukkan."[al-Darimi, al-Sunan, II, hlm. 113; al-Nasai, al-Sunan, VIII, hlm. 301]
64. Khalifah Umar menghalalkan minuman keras al-Tala'(jenis anggur yang diperah) apabila ianya direbus dan dihilangkan dua pertiganya.[al-Baihaqi, al-Sunan, VIII, hlm. 300;al-Nasai, al-Sunan, VIII, hlm. 329;al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal,III, hlm. 109;Malik, al-Muwatta',II, hlm. 180] Oleh itu ijtihadnya itu adalah bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAWA,"Setiap yang memabukkan adalah haram."[al-Turmidhi, Sahih, I, hlm. 324; al-Nasai, al-Sunan, VIII, hlm.300]
65. Khalifah Umar masih meminum minuman keras (arak) pada masa Rasulullah SAWA sehingga turunnya ayat di dalam Surah al-Maidah (5):91,"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang, maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)."
Di dalam keseronokan mabuknya dia membaca beberapa bait syair antaranya:
Katakan kepada Allah,
adakah Dia menegahku dari minumanku?
Katakan kepada Allah,
adakah Dia akan menegahku dari makananku?
Apabila sampai berita ini kepada Rasulullah SAWA, beliau keluar di dalam keadaan marah lalu memukul Umar. Dan Umar berkata:"Aku mohon dengan Allah dari kemurkaan-Nya dan kemurkaan Rasul-Nya." Kemudian turunlah ayat di dalam Surah al-Maidah (5):91,"Umar berkata:"Kami telah menghentikannya, kami telah menghentikannya."
Sepatutnya dia telah menghentikan amalan tersebut apabila ayat kedua dalam Surah al-Baqarah (2):219 tentang khamar (arak) diturunkan. Kerana ianya sudah cukup sebagai peringatan kepadanya sekalipun ianya bukanlah pengharaman sepenuhnya. Riwayat yang lain pula mengatakan bahawa Umar masih berada di dalam majlis arak, tiba-tiba seorang lelaki memberitahukan kepadanya bahawa ayat pengharaman arak secara Qat'i telah diturunkan. Lalu dia berkata:"Kami telah menghentikannya. kami telah menghentikannya!" Sebenarnya majlis arak itu berlaku di kelab Abu Talhah. Ibn Hajr di dalam Fath al-Bari, X, hlm. 30, telah menyenaraikan nama-nama para sahabat yang terlibat di dalam majlis arak di kelab Abu Talhah seperti berikut:
1. Abu Bakar bin Abi Qahafah pada masa itu berumur 58 tahun.
2. Umar bin al-Khattab pada masa itu berumur 45 tahun.
3. Abu Ubaidah al-Jarrah pada masa itu berumur 48 tahun.
4. Abu Talhah Zaid bin Sahal, tuan kelab pada masa itu berumur 44 tahun.
5. Suhail bin Baidha', wafat setahun selepas peristiwa tersebut,kerana sakit tua.
6. Ubayy bin Ka'ab.
7. Abu Dujanah Samak bin Kharsyah.
8. Abu Ayyub al-Ansari.
9. Abu Bakar bin Syaghub.
10. Anas bin Malik sebagai pelayan mereka (di saqi al-Qaum) pada masa itu berumur 18 tahun.[al-Tabari, Tafsir, II, hlm. 203; Abu Daud,al-Sunan, II, hlm. 128; Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, I, hlm. 53; al-Nasa'i, al-Sunan, VIII, hlm. 287; al-Jassas, Ahkam al-Qur'an, II, hlm. 245; al-Hakim, al-Mustadrak, II, hlm. 278; al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, I. hlm. 252; Ibn Hajr, fath al-Bari, X, hlm.30 dan lain-lain]
66. Khalifah Umar telah mengenakan had tanpa menurut hukum syarak. Seorang peminum arak dibawa kepadanya, lalu dia memerintahkan Muti' bin al-Aswad supaya melakukan hukuman had ke atasnya. Kemudian dia melihatnya memukulnya dengan pukulan yang kuat lalu dia berkata kepadanya:"Anda telah membunuh lelaki itu. Berapa kalikah anda telah memukulnya?"Dia menjawab:"Enam puluh kali."Lalu Umar berkata:"Jadikan dua puluh pukulan yang belum dilaksanakan itu sebagai menepati pukulan anda "yang kuat," maka jumlahnya cukup 80."Kedua-dua hukumannya itu adalah bertentangan dengan Sunnah Nabi SAWA yang menghukum peminum arak sebanyak 40 kali sebat.[al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, VIII, hlm.317; al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa', hlm. 137]
67. Khalifah Umar berkata:"Sesiapa berkata aku seorang yang alim, maka dia adalah jahil dan sesiapa yang mengatakan dia mukmin maka dia adalah kafir."[al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, I, hlm. 103]
Kata-katanya yang pertama bertentangan dengan firman Tuhan di dalam Surah al-Zumar (39): 9:"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui"{ (orang-orang jahil)?" Dan kedua, ianya bertentangan dengan firman-Nya di dalam Surah Ali Imran (3): 52:"Hawariyyun berkata: Kamilah penolong-penolong (agama) Allah, kami beriman (ammana) kepada Allah."
68. Khalifah Umar tidak menggalakkan kaum Muslimin menziarahi Baitul Maqdis kerana khuatir mereka akan membuat Haji seperti di Mekah. Beliau memukul dua lelaki yang melintasi Baitul Maqdis.[al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, VII, hlm. 157]
Ijtihadnya itu adalah bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAWA yang menggalakkan kaum Muslimin menziarahi atau beribadat pada tiga masjid. Rasulullah SAWA bersabda:"Pengembaraan diharuskan pada tiga masjid, Masjid Haram, Masjid aku ini dan Masjid al-Aqsa'.[Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, II, hlm. 234; Muslim, Sahih, I, hlm. 392; al-Nasai, al-Sunan, II,hlm. 37]
69. Khalifah Umar telah membentuk majlis syura yang aneh dan menakutkan. Dan ianya mesti ditamatkan dalam masa tiga hari dan dikawal oleh 50 orang tentera yang lengkap dengan senjata. Dia melantik enam orang; Sa'd bin Abu Waqas, Abdul Rahman bun Auf, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, al-Zubair bin al-Awwam dan Uthman bin Affan. Kemudian dia mencaci mereka dengan cacian-cacian yang tidak melayakkan mereka menjadi khalifah. Kemudian dia berkata:"Jika seorang daripada mereka menentang dan lima bersetuju, maka bunuhlah dia. Jika dua menentang dan empat bersetuju maka bunuhlah kedua-duanya. Dan jika tiga menentang dan tiga tiga bersetuju maka pilihlah pihak yang ada Abdul Rahman bin Auf.[IbnQutaibah, al-Imamah wal-Siyasah, I, hlm. 24]
Perhatikanlah bagaimana Khalifah Umar menghalalkan darah Muslimin di dalam keadaan tersebut? Ini bererti jika Ali menentang, dia akan dibunuh. Oleh itu hukumannya itu adalah bertentangan dengan Sunnah Nabi SAWA. Tidak halal darah Muslim melainkan tiga perkara: Lelaki kafir selepas Islamnya, lelaki berzina selepas Ihsannya, membunuh tanpa hak.[Ibn Majah, al-Sunan, II, hlm. 110]
Sistem syura yang diciptakan oleh Umar itu adalah untuk menjauhkan Ali AS daripada menjadi khalifah seperti berikut:
1. Syura ini telah melahirkan permusuhan terhadap Ali AS. Talhah al-Tamimi adalah dari keluarga Abu Bakar yang telah memindahkan khalifah dari Ali AS. Abdul Rahman bin Auf adalah ipar Uthman, adalah di antara orang yang menentang Ali AS.
Dan dia di antara orang yang cuba membakar rumah Ali AS kerana keengganannya memberi bai'ah kepada Abu Bakar.Sa'd bin Abu Waqas adalah di antara orang yang dendam terhadap Ali AS kerana ramai daripada bapa-bapa saudaranya telah dibunuh oleh Ali AS kerana penyibaran Islam. Lantaran itu dia lewat memberi bai'ah kepada Ali AS. Dan Uthman ketua Bani Umaiyyah yang dikenali dengan permusuhan dan penentangan terhadap Bani Hasyim dan keluarga Rasulnya. Justeru itu syura telah diciptakan begitu rupa adalah semata-mata untuk menjauhkan Ali daripada jawatan khalifah.
70. Syura ini menjaukhkan Ali dari anasir-anasir yang membantunya di dalam pemilihan, kerana tidak seorang pun orang Ansardipilih di dalam majlis syura tersebut. Perhatikanlah bagaimana khalifah Umar menjalankan politiknya yang halus supaya Ali tidak terpilih di dalam syura tersebut.
3. Syura menjadikan Abdul Rahman sebagai penentu apabila tiga bersetuju dan tiga lagi menentang. Apakah kelebihan Abdul Rahman bin Auf? Tidakkah dia berkata kepadanya:"Ada adalah firaun ummat ini?"[Ibn Qutaibah, al-Imamah wal-Siyasah, I,hlm. 24]
4. Syura melahirkan perebutan dan penentangan di kalangan anggota-anggotanya. Sa'ad bin Abu Waqas dan Abdul Rahman patuh kepada Uthman. Dan berlakulah sebagaimana yang berlaku.
70. Khalifah Umar berhasrat untuk melantik Abu Ubaidah bin al-Jarrah sebagai khalifah. Dia berkata:"Sekiranya Abu Ubaidah bin al-Jarrah masih hidup, nescaya aku melantiknya menjadi khalifah."[Ibn Qutaibah, al-Imamah wal-Siyasah, I, hlm. 23]
Kata-kata Khalifah Umar itu adalah bertentangan dengan hadith-hadith Rasulullah SAWA, di antaranya,"Ini Ali saudaraku, khalifahku, pewaris ilmuku."[al-Turmudhi al-Hanafi, al-Kaukab al-Duriyy, hlm. 134] Perhatikanlah bagaimana khalifah Umar tidak pernah terlintas di hatinya untuk melantik Ali AS sebagai khalifah. Malah majlis syura yang dibentuk olehnya adalah semata-mata untuk menjauhkan Ali AS dari jawatan tersebut dengan cara yang paling halus.
71. Khalifah Umar telah mengubah nama kinayah "Abu Isa" (bapa Isa) yang diberikan oleh Rasulullah SAWA kepada al-Mughirah bin Syu'bah. Dan dia memanggilnya Abu Abdillah (bapa hamba Allah). Dia berkata:"Adakah Isa mempunyai bapa?
Cukup anda dipanggil Abu "Abdillah." Sebahagian sahabatnya berkata:"Sesungguhnya Rasulullah SAWA telah memanggilnya Abu Isa."Dia menjawab:"Rasulullah SAWA telah diampuni dosanya. Tetapi kita tidak mengetahui apakah akan dilakukan kita."Umar telah memanggilnya Abu Abdillah sehingga dia mati.[Ibn Hajr, al-Isabah, II, hlm. 413; al-Baihaqi, al-Sunan, IX, hlm. 310; Abu Daud, al-Sunan, II, hlm. 309]
Sepatutnya khalifah Umar tidak mengubah panggilan tersebug. Tetapi dia telah mengubahnya kerana Isa tidak mempunyai bapa. Lantaran itu nama Abu Isa (bapa Isa) tidak boleh dipanggil dan ianya suatu dosa sekalipun iannya dipanggil oleh Rasulullah SAWA sendiri. Tetapi perbezaannya dosa beliau diampuni dan dosanya belum tentu diampuni atau tidak.
72. Khalifah Umar telah menulis surat kepada penduduk Kufah supaya tidak menamakan anak-anak mereka dengan nama Nabi. Dan memerintahkan sebahagian penduduk Madinah supaya mengubah nama-nama mereka yang dinamakan dengan nama Muhammad. Ijtihadnya itu adalah bertentangan dengan Sunnah Rasulullah SAWA yang mengizinkannya. Di antaranya Rasulullah SAWA bersabda:"Siapa yang mempunyai tiga orang anak lelaki dan dia tidak menamakan seorang daripada mereka dengan nama Muhammad, maka dia adalah orang seorang jahil."[al-Haithami, Majma' al-Zawaid, VIII, hlm. 49] Dan apabila sebahagian sahabat memberitahukan kepadanya bahawa Rasulullah SAWA membenarkannya, lalu dia menarik balik perintahnya.[Umdah al-Qari, VII, 143]
73. Khalifah Umar telah mengenakan had ke atas seorang yang berpuasa yang berada di dalam majlis minuman arak. Mereka berkata:"Dia itu berpuasa." Umar menjawab:"Kenapa dia berada bersama mereka."[al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummar, III, hlm. 101] Sepatutnya dia menyelidik kenapa lelaki itu berada di tempat itu. Dan kenapa dia tidak mengenakan hukum ta'zir ke atasnya?
74. Khalifah Umar telah melarang kaum Muslimin menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama malaikat. Diamendengar seorang lelaki memanggil kawanya bernama Dhu l-Qarnain. Umar berkata:"Kalian sudah selesai menggunakan nama-nama para Nabi maka sekarang kalian mengguna nama-nama malaikat pula?[Ibn Hajr, Fath al-Bari, VI, hlm. 295]Persoalannya apakah yang menghalang seseorang itu menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama malaikat seperti al-Jibra'il, Mika'il, dan Israfil? Kerana terjemahan nama-nama tersebut di dalam bahasa Arab ialah Abdullah, Ubaidillah dan Abdul Rahman.
75. Khalifah tidak mengetahui tentang hukum seorang yang telah menceraikan isterinya dengan talak dua di masa Jahiliyah dan satu talak pada masa Islam. Dia hanya berkata:"Aku tidak menyuruh anda dan aku tidak pula melarang anda." Tetapi Abdul Rahman menjawab:"Aku menyuruh anda bahawa talak anda pada masa Jahiliyah tidak dikira."[al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, V, hlm. 161]
76. Khalifah Umar telah mengharamkan perkahwinan selama-lamanya ke atas seorang perempuan yang melakukan hubungan jenis dengan hamba lelakinya kerana penakwilannya terhadap Surah al-Mukminun (23):6,".....atau hamba-hamba yang mereka miliki." Umar bermesyuarat dengan beberapa orang sahabatnya mengenainya. Mereka berkata:"Ianya tidak boleh direjam kerana dia telah menakwilkan ayat tersebut." Umar berkata:"Tidak mengapa! Demi Allah aku mengharamkan ke atas anda perkahwinan selama-lamanya, sebagai gantian kepada hukum had."Dan dia memerintahkan hamba lelaki tersebut supaya"tidak menghampirinya." Oleh itu ijtihad Umar adalah bertentangan dengan hukum Allah dan Sunnah Rasul-Nya.[al-Tabari, Tafsir, VI, hlm. 68; al-Baihaqi, al-Sunan, VII, hlm. 127; Ibn Kathir, Tafsir, III, hlm.239]
77. Khalifah Umar telah memukul seorang anak lelakinya yang memakai pakaian yang cantik dengan cemeti sehingga dia menangis. Hafsah bertanya:"Kenapa anda memukulnya?"Dia menjawab:"Aku melihat dia bermegah dengan pakaiannya, lalu aku memukulnya kerana aku suka membuatkan merasa rendah diri kepadaNya."[al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa', hlm. 96]
Jikalau itulah tujuan khalifah Umar kenapa dia menyalahi banyak hukum-hukum Allah dan Sunnah-sunnah Rasul-Nya denganmenggunakan ijtihadnya? Dan adakah penggunaan ijtihadnya itu bagi menambahkan perasaan rendah dirinya terhadap Allahdan RasulNya?
78. Khalifah Umar telah memukul al-Jarud al-Amiri dengan cemeti apabila seorang daripada sahabatnya berkata kepada al-Jarud:"Ini adalah penghulu kabilah Rabi'ah." Al-Jarud berkata,"Kenapa anda memukulku wahai Amirul Mukminin?"Dia menjawab:"Aku mendengar mereka berkata:Anda adalah penghulu kabilah Rabi'ah. Aku khuatir ianya membuatkan anda merasa megah."[Ibn al-Jauzi, Sirah al-Umar, hlm. 178; al-Muttaqi al-Hindi, Kanz, al-Ummal, hlm. 167]
79. Khalifah Umat tidak mengambil jizyah daripada orang-orang Majusi kerana dia tidak mengetahui bahawa mereka daripada Ahlul Kitab sehingga dia diberitahu oleh Abdul Rahman bin Auf bahawa dia mendengar Rasulullah SAWA bersabda:"Laksanakanlah hukum ke atas "mereka" sebagaimana hukum Ahlu l-Kitab." Kemudian dia melaksanakannya setahun sebelum dia wafat. Sepatutnya dia telah mengetahuinya dan mengambil jizyah daripada mereka.[al-Khatib al-Tabrizi, Misykat-al-Masabih, hlm. 334; Malik, al-Muwatta', hlm. 207; Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, I, hlm. 190; al-Baihaqi, al-Sunan, VIII, hlm. 234; Abu Ubaid, Kitab al-Amwal, hlm. 32]
80. Khalifah Umar tidak memahami doa seorang lelaki "Allahumma Ij'alni mina l-Qalil (Wahai Tuhanku jadikanlah aku di kalangan orang yang sedikit)." Umar bertanya kepada lelaki itu:"Apakah doa ini?" Lelaki itu menjawab:"Aku mendengar Allah berfirman di dalam Surah al-Saba'(34):12,"Dan sedikit sekali (qalilun) dari hamba-hambaku yang berterima kasih." Maka kau berdoa agar Dia menjadikan aku di kalangan yang sedikit itu." Umar berkata:"Semua orang lebih alim daripada Umar."[al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, V, hlm. 229; al-Zamakhsyari, al-Kasysyaf, II, hlm. 445 dan lain-lain]
81. Khalifah Umar berhasrat melantik Muadh bin Jabal sebagai khalifah. Dia berkata:"Sekiranya Muadh bin Jabal masih hidup, nescaya aku melantiknya menjadi khalifah."[Ibn Qutaibah, al-Imamah wal-Siyasah, I, hlm. 23] Kata-katanya itu adalah bertentangan dengan ucapanya di hari Saqifah, bahawa Quraisy tidak akan meredhai selain dari Quraisy. Muadh bin Jabal bukanlah Quraisy dan dia adalah orang Ansar. Dan ianya bertentangan dengan 'hadith' para Imam adalah dari Quraisy.
82. Khalifah Umar telah meludah surat persetujuan khalifah Abu Bakar tentang penanaman tanah terbiar oleh Uyainah bin Hasin dan al-Aqra' bin Habis kerana tidak bersetuju dengan rancangan tersebut. Kemudian memadamkannya pula. Akhirnya khalifah Abu Bakar mengakui bahawa kuasa yang sebenar berada di tangan Umar.[al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, VI, hlm. 335; Ibn Hajr, al-Isabah, V, hlm. 56]
83. Khalifah Umar mengatakan bahawa menjadi kerabat Rasulullah SAWA tidak ada guna dan tidak terlepas dari Allah SWT. Lalu Rasulullah SAWA memarahinya. Ibn Abbas meriwayatkan bahawa apabila wafatnya anak lelaki Safiyyah, ibu saudara Rasulullah SAWA menangis dengan suara yang kuat. Maka Nabi SAWA pun datang dan bertanya:"Wahai ibu saudaraku! Apakah yang membuatkan anda menangis? Dia menjawab:"Anak lelakiku telah mati.Rasulullah SAWA bersabda:Wahai ibu saudaraku! Sesiapa yang mati walaupun seorang anak di dalam Islam, dan dia bersabar, Allah akan membina sebuah rumah di syurga. Kemudian dia keluar dan berjumpa Umar. Maka Umar berkata kepadanya:Kekerabatan anda dengan Rasulullah SAWA tidak akan terlepas dari Allah SWT. Lalu Safiyyah menangis lagi. Dan ianya didengari oleh Nabi SAWA. Nabi SAWA memarahinya (Umar). Kemudian Nabi SAWA memerintahkan supaya dilakukan azan dan Nabi SAWA lalu berkhutbah:"Apakah gerangan orang-orang yang menyangkakan bahawa kerabatku tidak ada guna?" Beliau bersabda lagi,"Setiap nasab terputus pada hari Kiamat melainkan nasab keturunanku kerana ianya terjalin di dunia dan di akhirat."[al-Haithami, Majma' al-Zawa'id] Lantaran itu ijtihad Umar itu menyalahi Sunnah Rasulullah SAWA.
84. Khalifah Umar menyanyi dan sahabatnya menyuruhnya menyanyi. Harith bin Abdullah bin Abbas daripada bapanya berkata bahawa dia berjalan bersama Umar di suatu jalan di Makkah di dalam masa pemerintahannya, bersamanya Muhajirin dan Ansar. Umar menyanyikan satu nyanyian, lalu seorang lelaki dari Iraq berkata kepadanya:"Teruskan nyanyian itu wahai Amirul Mukminin."Maka Umarpun menjadi malu kemudian memecutkan untanya dengan laju.[al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal,VII, hlm. 336; al-Baihaqi, al-Sunan,V, hlm. 69]
85. Khalifah Umar pada masa jahiliyyah dikenali dengan Umair,"penternak kambing". Khalid bin Du'laj meriwayatkan daripada
Qatadah bahawa dia berkata suatu hari Umar keluar bersama al-Jarud al-Abdi dari masjid, tiba-tiba dia terserempak dengan seorang wanita di tengah jalan. Lalu Umar memberi salam kepadanya. Maka dia pun menjawab salamnya dan berkata:"Wahai Umar! Pada masa dahulu anda dinamakan Umair di pasar Ukkaz menternak kambing dengan tongkat anda. Kemudian beberapa hari sahaja berlalu anda menamakan Umar pula kemudian beberapa hari sahaja berlalu sehingga anda menamakan Amirul Mukminin. Lantaran itu bertaqwalah kepada Allah wahai Umar."[Ibn Abd Birr, al-Isti'ab, II, hlm. 723; Ibn Hajr, al-Isabah, VIII (1), hlm. 69]
86. Khalifah Umar dan Abu Bakar telah bertengkar sehingga meninggikan suara mereka di hadapan Rasulullah SAWA. Abu Bakar berkata:"Wahai Rasulullah lantiklah al-Aqra' bin Habis bagi mengetuai kaumnya." Umar berkata:"Wahai Rasulullah! Janganlah anda melantiknya sehingga mereka menengking dan meninggikan suara mereka di hadapan Rasulullah SAWA." Lalu diturunkan ayat di dalam Surah al-Hujurat (49):2, "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu lebih dari suara Nabi dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak terhapus pahala amalanmu, sedangkan kamu tidak menyedari." Sepatutnya mereka berdua bertanya dan merujuk kepada Rasulullah SAWA mengenai.[Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, IV, hlm. 6; al-Tahawi, Musykil al-Athar, I, hlm. 14-42]
87. Khalifah Umar telah memukul dengan cemeti seorang lelaki bernama Sabigh sehingga berdarah di belakangnya kerana diabertanya tentang huruf-huruf al-Qur'an (Mutasyabih al-Qur'an). Beberapa hari kemudian dia berkata kepada khalifah Umar:"Jika anda mahu membunuhku, bunuhlah dengan baik. Dan jika anda mahu mengubatiku, aku sekarang sudah sembuh." Kemudian Umar menulis surat kepada Abu Musa al-Asy'ari supaya tidak membenarkan orang ramai bergaul dengannya. Tindakan itu menyulitkan kehidupannya. Lalu Abu Musa al-Asy'ari menulis surat kepada khalifah Umar supaya membenarkan orang ramai bergaul dengannya kerana dia sudah bertaubat. Kemudian khalifah Umar membenarkannya.[al-Darimi,al-Sunan, I, hlm. 54; Ibn Asakir, Tarikh, VI, hlm. 384; Ibn al-Jauzi, Sirah Umar, hlm. 109]
88. Khalifah Umar tidak mengetahui ilmu Qira'at al-Qur'an. Diriwayatkan daripada Ibn Mujaz dia berkata:"Ubayy meriwayatkan daripada Ibn Mujaz dia berkata:"Ubayy membaca ayat 107 di dalam Surah al-Maidah,"Mani Iladhina Istahaqqa 'Alaihim al-Aulayyan."Umar berkata kepada Ubayy:"Anda telah berbohong."Ubayy menjawab:"Anda lebih banyak berbohong."Seorang lelaki berkata kepada Ubayy:"Anda membohongi Amirul Mukminin?"Dia menjawab:"Aku lebih memuliakan Amirul Mukminin daripada anda. tetapi aku membohonginya kerana membenarkan Kitab Allah dan aku tidak membenarkan Amirul Mukminin untuk membohongi Kitab Allah. Umar menjawab:"Ya, betul."[al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, I, hlm, 285; al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, II, hlm. 344]
89. Khalifah Umar pernah tidak membaca surah al-Fatihah pada rakaat pertama. Manakala rakaat kedua dia membaca Surah al-Fatihah dua kali. Apabila dia selesai sembahyang dan salam dia sujud dua sujud sahwi.[Ibn Hajar, Fath al-Bari, III, hlm. 69;al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, II,hlm. 382] Ibrahim al-Nakh'i berkata:"Umar bin al-Khattab sembahyang Maghrib tanpa membaca sesuatupun sehingga dia memberi salam. Apabila selesai dia bertanya:Adakah anda tidak membaca sesuatupun? Umar menjawab:Aku menyediakan tentera ke Syam....Maka Umarpun mengulangi sembayangnya dan orang lainpun mengulanginya."Daripada Sya'bi bahawa Abu Musa al-Asy'ari berkata kepada Umar,"Wahai Amirul Mukminin! Adakah anda membaca di dalam hati anda sesuatu."Dia menjawab:"Tidak."Maka dia menyuruh diazan dan diiqamatkan, lalu Umar mengulangi sembahyang dan merekapun mengulanginya.[al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, IV, hlm. 213;al-Baihaqi,al-Sunan, II, hlm. 342]
90. Khalifah Umar telah menyetubuhi seorang hamba (nya) pada siang hari bulan Ramadhan. Al-Daral-Qutni di dalam Sunannya Kitab al-Siyam, bab al-Qublah Li s-Siam (Perbahasan Mengenai Puasa dan Bab Kucupan Bagi Orang yang Berpuasa) telah meriwayatkan dengan sanadnya daripada Sa'id bin al-Musayyab bahawa Umar telah datang kepada para sahabatnya dan berkata:"Apakah pendapat kalian tentang perkara yang aku telah melakukannya hari ini? Pada mulanya aku berpuasa, tiba-tiba seorang hamba wanita melintasiku, dia mempersonakanku, maka aku pun menyetubuhinya."Orang ramai
menjadi riuh dengan kelakuannya itu sedangkan Ali AS berdiam sahaja. Lalu Umar bertanya kepada Ali AS:"Apa pendapat anda?" Beliau menjawab:"Anda telah melakukan perkara yang halal tetapi pada siang hari Ramadhan."Lalu Umar berkata:"Fatwa anda adalah lebih baik dari fatwa mereka."[Ibn Sa'd, Tabaqat, II, Bhg.II, hlm. 102]
Persoalannya:"Sekiranya khalifah Umar mengetahui hukumnya, apakah yang mendorongnya bertanya kepada para sahabatnya dan kemudian kepada Ali AS? Sekiranya dia tidak mengetahuinya, apakah yang menyebabkan dia berani melakukannya sebelum dia mengetahui halalnya dengan bertanyakan hukumnya?"
91. Khalifah Umar ketika sembahyang bersama Nabi SAWA telah menyeru Badwi penjual susu supaya berhenti di tempatnya. Al-Haithami di dalam Majma' al-Zawa'id, II, hlm. 62, meriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAWA sedang sembahyang tiba-tiba seorang Badwi datang dengan susunya. Kemudian Nabi SAWA memberikan isyarat kepadanya, tetapi dia (Badwi) tidak memahaminya.Lalu Umar memanggilnya:"Wahai Badwi! Berhentilah di situ." Apabila Nabi SAWA memberi salam, beliau bertanya:"Siapakah yang bercakap tadi?" Orang ramai menjawab:"Umar." Lalu Nabi SAWA bersabda:"Ilmu fiqh mana yang diikutinya! (sehingga dia boleh bercakap di dalam sembahyang)."
92. Khalifah Umar tidak mengetahui pengertian al-Abb di dalam Surah Abasa (80):32...."dan buah-buahan serta rumput-rumputan (Abban)." Sepatutnya dia mengetahui pengertian tersebut.[al-Hakim, al-Mustadrak, II, hlm. 514]
93. Khalifah Umar tidak dapat memahami pengertian al-Haraj di dalam Surah al-Hajj (22): 78,"Dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan."Lalu dia bertanya kepada seorang lelaki dari Bani Madlaj:"Apakah pengertian al-Haraj (suatu kesempitan)?Lelaki itu menjawab:"al-Dhaiq (kesempitan)."[al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, I, hlm. 257]
94. Khalifah Umar telah menyiram satu pokok kurma tetapi ianya tidak berbuah sementara Nabi SAWA menyiram pokok-pokok kurma yang banyak, kesemuanya berbuah. al-Baihaqi di dalam Sunannya,IX, hlm. 321 telah meriwayatkan sanadnya daripada Abdullah bin Baridah daripada bapanya bahawa Salman al-Farisi berkata:"Rasulullah SAWA menyiram pokok-pokok kurma selain satu pokok yang disiramkan oleh Umar. Kesemua pokok yang disiramkan oleh Nabi SAWA pada tahun itu berbuah, hanya satu pokok yang disiramkan oleh Umar yang tidak berbuah. Maka Rasulullah SAWA bertanya:"Siapakah yang menyiramkan pokok kurma yang tidak berbuah itu?Mereka menjawab:"Umar."Lalu Rasulullah SAWA menyiramkan pokok tersebut dan mengeluarkan buah pada akhir tahunnya."
95. Khalifah Umar kurang mampu memahami ungkapan seorang wanita yang merayu kepada Umar mengenai suaminya. Dia berkata:"Sesungguhnya suamiku berpuasa di siang hari dan beribadat di waktu malam." Umar tidak memahami ungkapan tersebut, malah dia berkata:"Anda mempunyai suami yang baik."Lalu seorang lelaki di majlis itu memberitahukan kepadanya maksud ungkapannya,"Dia merayu mengenai suaminya yang tidak menidurinya."Kemudian Umar meminta lelaki tersebut supaya memberi hukuman di antara mereka berdua.[al-Suyuti, Tarikh al-Khulafa', hlm. 96 dan lain-lain]
96. Khalifah Umar tidak memahami pengertian "kezaliman" di dalam Surah al-An'am (6):82,"Orang-orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman."Dia bertanya kepada Ubayy bin Ka'ab tentang pengertian tersebut. Ubayy bin Ka'ab berkata:"Maksud kezaliman di dalam ayat tersebut ialah Syirk. Tidakkah anda pernah mendengar ucapan Luqman kepada anak lelakinya di dalam firmanNya Surah Luqman (31):13,"Wahai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya Syirk itu adalah benar-benar kezaliman yang besar."[al-Hakim, al-Mustadrak, III, hlm. 305]
97. Khalifah Umar memukul seorang lelaki sehingga terjatuh serbannya kerana bertanya kepadanya tentang al-Jiwar al-Kannas (Surah al-Takwir (81):16:"(Bintang) yang beredar dan terbenam".) Sebenarnya lelaki tersebut ingin mengetahui maksud al-Jiwar al-Kannas, tetapi khalifah Umar sendiri tidak memahaminya lalu memukulnya sehingga terjatuh serbannya. Sepatutnya khalifah Umar bertanya pula kepada Ali AS nescaya dia akan memberi jawapan yang memuaskan.[al-Muttaqi al-Hindi, Kanz al-Ummal, I, hlm. 229]
98. Khalifah Umar telah menjalankan pemerintahannya agak kasar dan aggresif dan menakutkan kebanyakan rakyat biasa sehingga seorang wanita yang sedang hamil, gugur kandungannya kerana takutkan Umar. Tetapi aneh sekali di dalam peperangan dia merupakan seorang yang selalu melarikan diri.[al-Bukhari, Sahih, III, hlm. 46; al-Hakim, al-Mustadrak, III, hlm. 37] Talhah berkata kepada Abu Bakar:"Kenapa anda melantik ke atas kami seorang yang kasar?[Ibn Qutaibah, al-Imamah wal-Siyasah, I, hlm. 26] Tindakannya itu telah menambahkan kemarahan orang ramai. Lantaran itu ianya bertentangan dengan Rasulullah SAWA yang telah menjalankan pemerintahannya dengan lembut dan berbudi pekerti yang tinggi dan bersifat defensif.
99. Khalifah Umar telah membantah Nabi SAWA supaya tidak melakukan sembahyang ke atas jenazah Abdullah bin Ubayy dan menarik beliau dengan kuat. Al-Bukhari di dalam Sahihnya, bab al-Jana'iz, bab al-Kafn Fi al-Qamis telah meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdullah bin Umar bahawa apabila Abdullah bin Ubayy meninggal dunia, anak lelakinya berjumpa Nabi SAWA dan meminta baju Rasulullah SAWA untuk dikapankan bersama bapanya. Lantas Rasulullah SAWA memberikan kepadanya. Apabila Rasulullah SAWA mahu mengerjakan sembahyang ke atasnya, "Umarpun menariknya dengan kuat dan berkata:"Tidakkah Allah telah melarang anda dari mengerjakan sembahyang ke atas Munafiqin?" Beliau menjawab:"Aku diberi pilihan di antara dua perkara tersebut."Maka Nabi SAWA meneruskan sembahyangnya.[al-Turmudhi, Sahih, II, hlm. 185]
100. Khalifah Umar telah meninggikan suaranya terhadap Rasulullah SAWA. Muslim di dalam Sahihnya, Bab Waqt al-Isya' wa ta'khiruha meriwayatkan dengan sanadnya daripada Ibn Syihab daripada Urwah bin al-Zubair bahawa Aisyah berkata:"Pada suatu malam Rasulullah SAWA telah melambatkan sembahyang 'Isya'(atmah), lalu beliau tidak keluar dari rumahnya sehingga Umar melaung:Wanita-wanita dan kanak-kanak telah tidur! Lantas Rasulullah SAWA bersabda kepada orang-orang di masjid ketika beliau keluar.....Sehingga Ibn Syihab memberitahukan kepadaku bahawa Rasulullah SAWA bersabda:"Janganlah kalian mendesak Rasul supaya menyegerakan sembahyang."Ini berlaku apabila Umar melaungkan kepada beliau supaya mengerjakan sembahyang dengan segera."
101. Khalifah Umar membelakangi perintah Rasulullah SAWA sebaliknya mematuhi permintaan ketua Musyrikin, Abu Sufian. Rasulullah SAWA melarang para sahabatnya menjawab pertanyaan Abu Sufyan di dalam Perang Uhud kerana khuatir kaum Musyrikin mengetahui bahawa beliau masih hidup dan menyerang balas dengan cepat. Abu Sufyan ingin mendapatkan kepastian tersebut. Lalu dia bertanya:"Adakah Muhammad masih hidup?"Rasulullah SAWA bersabda:"Janganlah kalian menjawab pertanyaannya."Kemudian dia bertanya kepada Umar secara khusus:"Wahai Umar, aku merayu kepada anda supaya anda memberitahukan kepadaku, adakah kami telah membunuh Muhammad?"Lantas Umar menjawab:"Tidak! Beliau
sedang mendengar percakapan anda."[Ibn Jarir, Ibn al-Athir di dalam Tarikh-tarikh mereka bab "Peperangan Uhud"]
Sepatutnya khalifah Umar mematuhi perintah Rasulullah SAWA dengan tidak membocorkan maklumat tersebut. Lantaran itu ijtihadnya adalah menyalahi Sunnah Rasulullah SAWA.
102. Khalifah Umar telah memanggil seorang wanita yang hamil kerana ingin bertanya kepadanya sesuatu. Tetapi disebabkan ketakutannya kepada khalifah Umar kandungannya menjadi gugur. Dia meminta fatwa para sahabat mengenainya. Mereka berkata:"Anda tidak wajib membayar apa-apapun kepadanya."Lalu Ali berkata:"Sekiranya mereka ingin menjaga hati anda, bererti mereka telah menipu anda. Dan sekiranya ini adalah ijtihad mereka, maka mereka telah bersalah. Oleh itu anda bersalah dan wajib memerdekakan seorang hamba."[Ibn Abil Hadid, Syarh Nahj al-Balaghah, I, hlm. 58]
103. Khalifah Umar mencaci Abu Hurairah kemudian memukulnya sehingga berdarah dan berkata:"Semasa aku melantik anda ke Bahrain anda tidak mempunyai apa-apapun, meskipun sepasang kasut. Kini anda mempunyai ternakan kuda dan dinar yang banyak."Umar berkata lagi,"Wahai musuh Allah dan musuh kitabNya! Anda telah mencuri harta Allah! [Ibn Abd Rabbih, al-Aqd al-Fariq, I, hlm. 26] Khalifah Umar memandang Abu Hurairah sebagai seorang yang tidak boleh diharapkan, dan tidak mempunyai amanah lalu memukulnya sehingga berdarah.
Perhatikanlah bagaimana sikap khalifah Umar terhadap Abu Hurairah. Kenapa kita Ahlul Sunnah memarahi Syi'ah kerana menolak Abu Hurairah? Sepatutnya kita lebih memarahi khalifah Umar kerana sikap dan perbuatannya terhadap Abu Hurairah.
104. Khalifah Umar mengkritik (lamiza) Nabi SAWA dan cara beliau membahagi-bahagikan harta sadaqah. Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya, I, hlm. 20 meriwayatkan daripada Salman bin Rabi'ah, dia berkata:"Aku mendengar Umar berkata:Rasulullah SAWA membahagi-bahagikan sesuatu, maka aku berkata:Wahai Rasulullah, Ahlul s-Suffah adalah lebih berhak daripada mereka. Dia berkata:Rasulullah SAWA bersabda:"Anda bertanya kepadaku tentang perkara-perkara yang keji dan anda menyangka aku seorang yang bakhil sedangkan aku bukanlah seorang yang bakhil."Aku berkata:Beliau meneruskan pembahagian tersebut menurut apa yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya."Diriwayatkan daripada Abu Musa bahawa Umar telah bertanya kepada Rasulullah perkara-perkara yang dibenci oleh Rasulullah, lantas beliau marah sehingga Umar melihat mukanya berubah. Al-Bukhari juga telah meriwayatkannya di dalam Sahihnya, I, hlm. 19, bab al-'Ilm, dan bab
al-Ghadhab fi al-Mau'izah wa al-Ta'lim idha Ra'a ma yakrahu.
105. Khalifah Umar telah memaksa Jabalah bin al-Aiham supaya mengikat dirinya sendiri atau membiarkan dirinya diikat kerana dia telah menampar seorang lelaki dari Zararah yang telah memijak kainnya ketika dia sedang melakukan tawaf. Apabila tiba waktu malam, Jabalah dan kaumnya seramai lima ratus orang keluar dari Makkah menuju Istanbul. Kemudian mengisytiharkan menganuti ugama Kristian kerana menentang tindakan Umar. Walau bagaimanpun Jabalah berdukacita di atas apa yang berlaku kerana perasaan kasih kepada Islam masih wujud di hatinya tetapi kemarahan kepada tindakan Umar tetap membara.[Ibn Abd Rabbih, al-Aqd al-Farid, I, hlm. 187] Lantaran itu tindakan Umar yang terburu-buru tanpa kebijaksanaan telah membuat Jabalah dan kaumnya seramai lima ratus orang meninggalkan ugama Islam dan memeluk ugama Kristian.
106.Khalifah Umar mengakui kekurangan ilmunya terutamannya jika dibandingkan dengan Ali AS. Pengakuan-pengakuannya telah dicatat di dalam buku-buku Ahlul Sunnah. Di antaranya Umar berkata: a)"Sekiranya tidak ada Ali nescaya binasalah Umar." b)"Wahai Tuhanku! Jangan tinggalkan aku di dalam permasalahan di mana Abu l-Hassan tidak ada."
c)"Wanita telah lemah melahirkan orang seperti Ali bin Abi Talib dan sekiranya tidak ada Ali nescaya binasalah Umar."
d)"Anak lelaki al-Khattab binasa sekiranya tidak ada Ali bin Abi Talib."
e)"Kembalikan percakapan Umar kepada Ali. Sekiranya tidak ada Ali nescaya binasalah Umar."
f)"Aku memohon perlindungan dengan Allah dari sebarang permasalahan di mana Abu l-Hassan tidak ada."[Lihat umpamanya
al-Tabari, Dhakai'r al-Uqba, hlm. 81; al-Suyuti, al-Durr al-Manthur, I, hlm. 288]
Pengakuan-pengakuan Umar di atas menunjukkan dengan jelas bahawa Ali adalah lebih alim dan lebih mulia daripada Umar. Dan pengakuannya tidak boleh difahami sebagai tawadhuknya. Kerana pengakuan tersebut dilakukan selepas permasalahan hukum tidak dapat diselesaikan olehnya. Malah Umar juga mengakui bahawa orang ramai lebih alim daripadanya: a)"Setiap orang itu lebih alim daripada Umar." b)"Orang ramai lebih mengetahui ilmu Fiqh daripada Umar ."
c)"Setiap orang lebih mengetahui ilmu Fiqh daripada Umar sehingga anak-anak dara sunti di khemah-khemah."
d)"Setiap orang lebih mengetahui daripada anda wahai Umar."
e)"Setiap orang lebih mengetahui daripada Umar sehingga anak-anak dara sunti di rumah-rumah."
107. Khalifah Umar tidak dapat menjawab soalan-solana yang dikemukakan kepadanya oleh Raja Rome. Kemudian dia meminta Ali AS supaya menjawabnya. Ibn Musayyab berkata:"Raja Rome menulis surat kepada khalifah Umar supaya memberikan jawapan kepada beberapa soalan yang dikemukakannya. Amma Ba'd.Sesungguhnya aku bertanya kepada anda beberapa soalan, oleh itu beritahukan kepadaku jawapannya:
1. Apakah perkara yang tidak dijadikan Allah?
2. Apakah perkara yang tidak diketahui Allah?
3. Apakah perkara yang tidak ada di sisi Allah?
4. Apakah perkara yang semuanya mulut?
5. Apakah perkara yang semuanya kaki?
6. Apakah perkara yang semuanya mata?
7. Apakah perkara yang semuanya sayap?
8. Siapakah lelaki yang tida ada keluarga?
9. Apakah perkara yang tidak dikandung oleh rahim?
10. Apakah perkara yang bernafas tetapi tidak ada roh?
11. Apakah yang dikatakan oleh suara loceng gereja?
12. Apakah perkara yang terangkat sekali sahaja?
13. Apakah pokok di mana orang yang berjalan dibayangannya selama seratus tahun belum dapat melintasinya dan apakah seumpamannya di dunia ini?
14. Apakah tempat yang tidak pernah terkena cahaya matahari melainkan sekali sahaja?
15. Apakah pokok yang tumbuh tanpa air?
16. Beritahukan kepadaku tentang Ahli Syurga; mereka makan, minum tanpa kencing dan berak dan apakah seumpama mereka di dunia ini?
17. Di antara hiasan di syurga ialah mangkuk-mangkuk yang cantik dan setiap mangkuk mempunyai berbagai-bagai warna yang tidak bercampur di antara satu sama lain, apakah seumpamannya di dunia ini?
18. Beritahukan kepadaku tentang seorang hamba wanita yang keluar dari buah epal di syurga tanpa sebarang kekurangan?
19. Beritahukan kepadaku tentang seorang hamba wanita di dunia untuk dua orang lelaki dan di akhirat hanya untuk seorang lelaki sahaja?
20. Beritahukan kepadaku tentang anak-anak kunci syurga apakah ia?
Ali AS membaca surat tersebut dan menjawabnya serta merta.'Bismi llahi r-Rahman r-Rahim. Amma ba'd. Sesungguhnya aku telah membaca surat andaa wahai Raja Rome dan aku menyeru anda dengan pertolongan Allah, keberkatan-Nya dan keberkatan Nabi kami Muhammad SAWA.
1. Adapun perkara yang tidak "dijadikan" Allah ialah "al-Qur'an" kerana ia adalah kalam-Nya dan sifat-Nya begitu juga kitab-kitab-Nya yang lain. Allah SWT adalah qadim dan "sifat-sifat"Nya juga qadim.
2. Adapun perkara yang tidak diketahui oleh Allah ialah kata-kata anda,"Dia mempunyai anak lelaki, teman wanita dan rakankongsi."Allah tidak sekali-kali mempunyai anak dan sekali-kali tidak ada tuhan (yang lain) bersertaNya."[Surah al-Mukminun
(23):91] dan "Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan."[Surah al-Ikhlas(112):3]
3. Adapun perkara yang tidak ada di sisi Allah ialah kezaliman,"Dan sekali-kali tidaklah Tuhanmu menganiaya hamba-hamba-Nya."[Surah Fussilat(41):46]
4. Adapun perkara yang semuanya mulut ialah api. Api menjilat apa yang dicampakkan kepadanya.
5. Adapun perkara yang semuanya kaki ialah air.
6. Adapun perkara yang semuanya mata ialah matahari.
7. Adapun perkara yang semuanya sayap ialah angin.
8. Adapun lelaki yang tidak ada keluarga ialah Adam AS.
9. Adapun perkara yang tidak dikandung oleh rahim ialah tongkat Musa, berbiri Ibrahim, Adam dan Hawa.
10. Adapun perkara yang bernafas tetapi tidak mempunyai roh ialah "Subuh apabila fajarnya mulai menyingsing [Surah al-Takwir(81):18]
11. Adapun apa yang dikatakan oleh loceng gereja:Taqqan, haqqan, haqqan, mahlan, mahlan, 'adlan, 'adlan, sidqan,sidqan, taqqan, sesungguhnya dunia telah memperdaya dan mempesonakan kita. Dunia berlalu abad demi abad. Setiap hari yang berlalu, melemahkan kedudukan kita. Sesungguhnya kematian memberitahukan kita bahawa sesungguhnya kita sedang berada di dalam suatu perjalanan. Lantaran itu tempatkanlah kami di mana-mana.
12. Adapun perkara yang terangkat sekali sahaja ialah bukit Tursina manakala Banu Isra'il menderhaka kepada Tuhan. Jarak di antaranya dengan Baitul Maqdis adalah beberapa hari perjalanan. Allah SWT telah mencabutkan satu bahagian kecil darinya dan dijadikannya dua sayap dari cahaya. Lalu Dia mengangkatnya di atas mereka sebagaimana firmanNya di dalam Surah al-'Araf (7): 171:"Dan (ingatlah) ketika kami mengangkat bukit ke atas mereka, seakan-akan bukit itu naungan awan dan mereka yakin bahawa bukit itu akan jatuh menimpa mereka."Dan Dia berfirman kepada Bani Isra'il sekiranya mereka tidak beriman Dia akan menjatuhkannya ke atas mereka dan manakala mereka beriman, Dia kembalikannya di tempatnya yang asal.
13. Adapun pokok di mana orang yang berjalan di bayangannya selama seratus tahun belum dapat melintasinya ialah Pokok Tuba iaitu di Sidrah al-Muntaha di langit yang ketujuh. Di situlah berakhirnya amalan manusia, ianya dari pokok-pokok syurga. Tidak ada istana atau rumah di syurga melainkan ianya ditutupi oleh dahan-dahannya, seumpamanya di dunia ini ialah matahari, puncanya satu dan cahayanya di setiap tempat.
14. Adapun tempat yang tidak terkena cahaya matahari melainkan sekali sahaja ialah tanah laut di mana Allah membelahkan laut untuk Nabi Musa AS. Lalu air melambung tinggi seperti bukit dan tanah itu menjadi kering kerana terkena cahaya matahari ke atasnya kemudian air laut kembali ke tempatnya.
15. Adapun pokok yang tumbuh tanpa air ialah Pokok Yunus. Ianya merupakan satu mukjizat baginya sebagaimana firman-Nya di dalam Surah al-Saffat (37): 146:"Dan kami tumbuhkan untuk dia sebatang pokok dari jenis labu."
16. Adapun makanan ahli syurga seumpama mereka di dunia ini ialah janin di perut ibunya, menghisap makanan dari pusatibunya, tanpa kencing dan berak.
17. Adapun warna-warna yang bermacam-macam di satu mangkuk seumpamanya di dunia ini ialah sebiji telur yang mempunyai dua warna; putih dan kuning dan kedua-duanya tidak akan bercampur.
18. Adapun hamba wanita yang keluar dari epal seumpamanya di dunia ini ialah ulat yang keluar dari epal dan tidak berubah.
19. Adapun hamba wanita yang dimiliki oleh dua lelaki ialah seperti satu pokok kurma yang dimiliki di dunia ini oleh Mukmin sepertiku dan oleh orang kafir seperti anda. Dan ianya menjadi milikku sahaja di akhirat kerana ia berada di syurga sedangkan anda tidak memasukinya.
20. Adapun anak-anak kunci syurga ialah Lailaha illa llah Muhammadan Rasulullah.
Ibn al-Musayyab berkata:"Apabila raja Rome membacanya dia berkata:"Percakapan seperti ini tidak dapat diucapkan melainkan oleh seorang yang datang dari "rumah kenabian."[al-Hafiz al-'Asimi di dalam Zain al-Fata, di dalam penerangannya mengenai Surah Hal Ata, Sibt Ibn al-Jauzi di dalam Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 87]



Indeks
Abu l-Fida’,Tarikh, Cairo,1384H.
Abu "Ubaid, Kitab al-Amwal, Baghdad 1958.
Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, Bairut,1382H.
Al-Asy"ari,Abu l-Hasan Ali bin Ismail, al-Ibanah ‘an Usul al-
Diyanah,Cairo,1385H.
Al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, Baghdad,1959
Al-Baladhuri, Ansab al-Asyraf,Tunis 1384H.
Al-Baqillqni, al-Tamhid, Baghdad,1960.
Al-Bukhari, Sahih,Bairut , 1377H.
Al-Darimi, al-Sunan, Cairo,1385H.
Al-Dhahabi,al-Talkhis,Cair o,1969.
Fakhruddin al-Razi, Mafatih al-Ghaib, Cairo 1967.
Al-Haitahami, Majma’ al-Zawaid , Baghdad,1378H.
Al-Hakim , al-Mustadrak ,Cairo, 1969.
Al-Halabi, Sirah al-Nabawiyyah , Cairo,1362H.
Ibn ‘Abd al-Birr, al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Sahabah ,Cairo,1365.
Ibn ‘Abd Rabbih,’Iqd al-Farid,Tunis,1378H.
Ibn Abi al-Hadid, Syarh Nahj al-Balaghah ,Baghdad,1382H.
Ibn al-Athir, Usd al-Ghabah ,1959.
Ibn Hajr,al-Isabah fi Ma’rifah al-Sahabah ,Bairut,1953.
________Fath al-Bari , Cairo,1958.
Ibn Hajr al-Naithami, al-Sawa’iq al-Muhriqah , Cairo,1383H.
Ibn Kathir,Tafsir, Cairo,1381H.
Ibn Majah ,al-Sunan, Baghdad,1367H.
Ibn Qutaibah,al-Imamah wa al-Siyasah, Cairo,1959.
Ibn Rusyd,Bidayah al-Mujtahid, Baghdad,1959.
Ibn Sa’d,Tabaqat, Cairo,1375H.
Ibn Taimiyyah,Minhaj al-Sunnah, Baghdad,1369H.
Al-Jassas,Ahkam al-Qur’an,Baghdad,1959.
Al-Kulaini,al-Raudhah min al-Kafi,,Tehran,tt.
Mahyu al-Din al-Syafi’I al-Tabari,Dhakha’I al-‘Uqba,Cairo,tt.
Malik,al-Muwatta’, Tunis,1384H.
Al-Muhibb al-Tabari,al-Riyadh al-Nadhirah,Baghdad,tt.
Al-Muttaqi al-Hindi,Kanz al-‘Ummal,Hyderabad,1374H.
Al-Nasa’i,al-Khasais,Bairut,1959.
Al-Qunduzi al-Hanafi, Yanabi’ al-Mawaddah,Baghdad,1395H.
Sahnun,al-Mudawwanah al-Kubra,Cairo,1380H.
Sulaim bin Qais al-Hilali al-Kufi,Kitab Sulaim,Bairut,1980.
Al-Suyuti,al-Durr al-Manthur,Cairo,1961.
_________, Tarikh al-Khulafa’, Cairo,1368H.
Al-Syafi’I,al-Umm, Cairo,1958.
Al-Syahrastani, Milal wa al-Nihal, Cairo,1968.
Syarafuddin al-Musawi, Abu Hurairah,pakistan,1959.
Al-Tabari,Tarikh, Bairut,1968.
_______, Tafsir, Cairo,1349H.
Al-Tahawi,Musykil al-Athar, Hyederabad,1372H.
Al-Turmudhi,Sahih,Cairo,1382H.
Al-Ya’qubi, Tarikh al-Ya’qubi, Bairut,1379H.
Al-Zamakhsyari,al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq wa Ghawamidh al-
Al-Tanzil, Cairo,tt.